Protozoa penyebab cirit-birit




CUKUP menakutkan apabila parasit halus menjadikan tubuh manusia sebagai perumah tanpa kita disedari.

Jika dahulu masyarakat sering didedahkan dengan bahaya cacing tularan tanah seperti cacing gelang, cacing cambuk, cacing kait dan cacing benang, kini jangkitan protozoa juga tidak harus dipandang ringan.

Malah, bagi mereka yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah, kehadiran parasit daripada pelbagai jenis terutama protozoa menjadikan keadaan lebih serius.

Menurut Pakar Parasitologi dan Kesihatan Masyarakat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datin Dr. Norhayati Moktar, perkara ini bukan sesuatu yang baru dalam penyelidikan berkaitan parasit yang menjadi ancaman kepada kesihatan manusia.

“Bagi pesakit AIDS atau kanser yang sedang menjalani rawatan kimoterapi, kebarangkalian untuk dijangkiti parasit usus adalah agak tinggi,” katanya.


SELAIN usus besar, hati, limpa dan paru-paru sering menjadi perumah parasit jangkitan usus.


Protozoa pembunuh

Jelas Norhayati, infeksi protozoa terhadap golongan yang mempunyai sistem imun badan lemah dikenali melalui simptom cirit-birit berpanjangan, hilang selera makan dan turun berat badan.

Jelasnya, protozoa usus daripada jenis koksidia seperti Cryptosporidium parvum dan Isospora belli serta kumpulan mikrosporida usus menjadi penyebab utama cirit-birit berpanjangan.

Norhayati juga menjelaskan, secara amnya, infeksi parasit usus sering ditemui dalam masyarakat namun penghidapnya tidak mempunyai gejala yang jelas.

“Oleh itu, kes-kes jangkitan ini jarang dikesan di pusat kesihatan dan hospital.

“Keadaan ini amat berbeza dengan jangkitan yang disebabkan oleh bakteria atau virus seperti H1N1, di mana pesakit menunjukkan gejala,” jelasnya yang turut menyatakan infeksi ini melibatkan protozoa dan cacing tularan tanah (STH).

Hasil kajian mendapati hampir 80 peratus jangkitan usus ini menular secara senyap kerana tiada gejala khusus.


NORHAYATI MOKTAR


Ujarnya, meskipun Malaysia merupakan negara membangun, masalah jangkitan parasit usus masih membelenggu penduduk di beberapa kawasan.

Disebabkan sebaran parasit ini menular melalui makanan dan air yang tercemar dengan najis manusia, taburan penyakit lebih banyak ditemui di kalangan penduduk yang tinggal di pedalaman yang tidak mempunyai sistem pembuangan najis yang baik serta bekalan air bersih seperti air sungai.

Ganggu tumbesaran

Tambah beliau, infeksi protozoa usus terutama Giardia intestinalis boleh mengganggu tumbesaran kanak-kanak.

Jelasnya, terdapat beberapa mekanisme bagaimana parasit usus menyebabkan mulnutrisi terhadap kanak-kanak malah golongan dewasa.

“Selain mengganggu sistem penghadaman dan penyerapan makanan, pesakit juga akan mengalami ciri-birit yang kronik, muntah dan sakit di bahagian abdomen.

“Kesan-kesan ini akan menyebabkan pertumbuhan dan perkembagan fizikal dan mental kanak-kanak terbantut,” katanya.


PROTOZOA Giardia lamblia cysts di bawah mikroskop.


Dalam pada itu, kawalan dan pencegahan infeksi parasit usus mungkin memerlukan pendekatan yang baru kerana kajian terbaru membuktikan sumber infeksi protozoa spesies Giardia intestinalis bukan saja daripada manusia ke manusia tetapi melalui anjing dan roden.

“Walaupun jangkitan parasit usus ini mempunyai kadar kematian yang rendah dan jarang diperkatakan umum, kawalan dan pencegahan harus dipertingkatkan kerana ia mampu mengganggu kualiti hidup seseorang,” ujarnya.

Susu ibu tidak akan kering




UMUM mengetahui mengenai kebaikan susu ibu yang mengandungi antibodi melindungi bayi daripada serangan penyakit. Jika beberapa tahun lalu, menyusu badan tidak dilihat sebagai trend, kini kian ramai para ibu cenderung mempraktikkannya demi kelestarian kesihatan si kecil.

Tidak timbul lagi soal malu atau segan menyusukan anak di khalayak ramai, walaupun ada mata-mata nakal mencuri pandang.

Namun, bagi ibu yang menyusukan bayi buat pertama kali kedatangan bulan Ramadan menimbulkan sedikit kegusaran kerana khuatir pengeluaran susu berkurangan malah, mungkin tiada susu yang dapat dikeluarkan kerana menjalani ibadah puasa.

"Memang ada segelintir ibu yang berasa bimbang jika tidak dapat menghasilkan susu badan sebanyak seperti hari-hari biasa.

"Tetapi sebenarnya, para ibu tidak perlu gusar kerana penghasilan susu akan tetap sama jika aktiviti pengurusan penyusuan ibu itu dijalankan seperti normal dan ia menjadi amalan berterusan," kata Zatul Hijanah Ramzi.

Elak tertekan

Menurut Zatul Hijanah yang merupakan Kaunselor Laktasi Malaysian Breastfeeding Peer Counselor (MBfPC), tanggapan sesetengah ibu mengenai susu badan akan kering ketika berpuasa adalah tidak benar.

"Walaupun kita tidak makan dan minum pada siang hari, ia tidak bermakna ibu tidak dapat menghasilkan susu yang mencukupi untuk keperluan bayi," ujarnya.

Terang beliau, ini kerana ibu masih lagi mengambil makanan dan minuman pada waktu malam iaitu selepas berbuka dan sehingga waktu Imsak.

Bagaimanapun, tegas Zatul Hijanah, seseorang ibu tidak seharusnya mengelakkan atau mengambil mudah amalan bersahur kerana ia adalah bekalan tenaga dan air untuk tubuh ibu sepanjang hari.

"Seseorang ibu seharusnya meminum air yang mencukupi selepas berbuka sehingga waktu Imsak. Sekiranya tidak bersahur dan kekurangan air, tubuh ibu akan mengalami dehidrasi yang boleh menjadi penyebab kepada kurangnya penghasilan susu," jelas beliau.

Bagaimanapun katanya, wanita tidak seharusnya terlalu memikirkan mengenai ibadah puasa yang akan menyebabkan mereka kekeringan susu kerana kebimbangan melampau sehingga menyebabkan stres yang sebenarnya boleh mendorong kepada kemerosotan kuantiti susu badan.




Jelas beliau penghasilan susu boleh merosot bukan disebabkan ibadah berpuasa, sebaliknya kerana stres yang dialami oleh ibu sehingga menghalang refleks ejeksi susu atau let down. Oleh itu, ibu perlu bertenang dan menjalani rutin harian seperti biasa.

Jangan putus asa

Malangnya bagi ibu yang beranggapan susu akan berkurangan sewaktu berpuasa, akan mula ragu-ragu dengan kebolehan mereka untuk terus membekal dan menghasilkan kuantiti susu yang banyak.

Disebabkan tanggapan itu, ada ibu yang mula berputus asa apabila melihat kuantiti susu agak berkurangan pada hari pertama berpuasa sehingga menyebabkan mereka mula mengurangkan aktiviti mengepam susu badan. Malah, ada ibu yang berhenti terus daripada berbuat demikian. Jika anda mengambil tindakan seperti itu, maka penghasilan susu akan semakin berkurangan kerana kurangnya permintaan.

"Badan kita ini unik kerana dalam proses penyusuan sebenarnya faktor dan konsep 'permintaan dan penawaran' adalah amat penting.

"Semasa proses penyusuan, hormon-hormon seperti prolaktin dan oksitosin akan terlibat. Prolaktin adalah hormon yang menghasilkan susu dan oksitosin pula merupakan hormon yang merembeskan keluar susu ibu. Namun begitu, terdapat satu lagi faktor yang berkait rapat dengan konsep permintaan dan penawaran tadi. Hormon yang dimaksudkan ialah Feedback Inhibitor Of Lactation (FIL) yang juga merupakan sejenis protein yang terdapat dalam susu yang berkumpul dalam payu dara ibu," jelasnya.

FIL memberi tindak balas secara negatif kepada proses penghasilan susu. Apa yang dimaksudkan dengan tindak balas negatif tersebut?

FIL akan mula berkumpul dalam payu dara apabila kurangnya rangsangan dan payu dara tidak dikosongkan dengan betul (hanya sedikit susu yang dikeluarkan daripada payu dara). Tidak kiralah sama ada kekurangan rangsangan itu daripada kurangnya hisapan oleh bayi atau pun kurangnya aktiviti mengepam keluar susu sewaktu bayi tidak bersama ibu.

Tahap FIL yang tinggi ini akan mula memberikan isyarat agar penghasilan susu perlu dikurangkan kerana kurangnya permintaan.

"Ia akan menjadi sebaliknya pula jika payu dara sering dikosongkan. Peratusan FIL dalam payu dara akan menjadi rendah dan seterusnya menghantar isyarat supaya lebih banyak susu perlu dihasilkan oleh ibu.


PARA ibu yang menyusukan bayi ketika bulan puasa perlu mengepam susu dengan lebih kerap berbanding bulan-bulan biasa.


"Oleh itu, susukan bayi dengan kerap dan bagi ibu yang bekerjaya atau pun yang berjauhan dengan bayi pula, jangan lupa untuk mengepam susu pada setiap dua jam atau tiga jam sekali," jelasnya.

Terang beliau, kaum ibu juga tidak perlu bimbang mengenai zat dan nutrien dalam susu badan sepanjang bulan Ramadan.

Berlatih sejak Syaaban

Sementara itu, wanita yang bakal menimang cahaya mata kelima, Kartina Md. Khalid, 37, memberitahu, pengalaman menyusukan bayi pada bulan Ramadan adalah agak sukar dan mencabar kerana badan mudah menjadi letih.

"Apa yang saya lakukan adalah mengambil makanan yang seimbang dan mengatur program pemakanan sendiri. Apabila bekerja, saya akan mengepam susu untuk anak saya.

"Pada dua minggu terakhir Syaaban, saya melatih diri saya supaya kurangkan makan tengah hari dan dalam masa yang sama mengambil lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran," katanya yang merupakan penterjemah dan penyunting sambilan.

Tambahnya, menyusukan anak lelaki lebih mencabar dan ibu memerlukan lebih banyak tenaga. Untuk itu si ibu perlu makan nasi yang banyak ketika bersahur manakala bagi anak perempuan pula, si ibu boleh mengurangkan pengambilan nasi tetapi melebihkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran.

"Para ibu tidak perlu risau kerana susu badan sentiasa ada. Ibu perlu mencari rentak badan sendiri. Pada awal Ramadan memang meletihkan terutamanya pada tiga hari pertama berpuasa.

"Kita akan lihat perbezaan kuantiti dan kualiti pada bulan puasa. Apa yang perlu dilakukan adalah ubah corak pemakanan dengan minum lebih banyak air dan pam susu dengan lebih kerap," ujarnya.

Tegas Kartina, jangan sekali-kali berhenti menyusukan anak kerana jika permintaan susu kurang, pengeluaran akan turut merosot

sakit buah pinggang

Seumpama virus, kegagalan buah pinggang boleh berlaku pada bila-bila masa.


SEPERTI organ lain, pemeriksaan buah pinggang harus dilakukan secara berkala iaitu enam bulan sekali.


LAZIMNYA, kegagalan fungsi buah pinggang atau ginjal seringkali dikaitkan dengan kencing manis atau tekanan darah tinggi.

Bagi penyakit radang buah pinggang, ia agak jarang diperkatakan walaupun saban waktu terdapat kes ini.

Tidak hairanlah jika kajian di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan 10 peratus daripada golongan dewasa mempunyai masalah kerosakan buah pinggang daripada kategori ringan hingga serius. Malangnya mereka tidak mengetahuinya.




Turut dikenali sebagai glomerulonephritis (GN), Pakar Runding Nefrologi Pusat Perubatan Ampang Puteri, Datuk Dr. Zaki Morad Mohamed Zaher menjelaskan ia kerapkali berlaku pada golongan muda.

“Keradangan ginjal berlaku serta-merta iaitu mengambil masa hanya beberapa hari berbanding kerosakan ginjal yang biasanya memakan masa selama 10 hingga 15 tahun,” kata Zaki.

Biasanya, penyakit buah pinggang akut disebabkan oleh penyakit yang memberi kesan kepada buah pinggang, aliran darah atau air kencing yang mengalir keluar daripadanya.

Ujarnya, GN berlaku apabila terdapat kerosakan pada glomeruli iaitu sekumpulan kapilari yang berfungsi sebagai penapis ketika proses menyingkirkan bahan kumuh daripada darah dan masuk ke dalam tubules buah pinggang.

Perbezaan ketara penyakit ini dengan kegagalan buah pinggang yang lain ialah GN tidak melibatkan faktor makanan serta darah tinggi dan kencing manis.

Tambahnya, antara tanda awal pesakit menghidap penyakit ini ialah mereka mengalami masalah air kencing yang mengandungi protein.

Malah panyakit GN lebih bersifat sementara dan boleh hilang dalam jangka waktu tertentu dengan rawatan khas yang diperoleh sejak peringkat awal.

Mengenai punca penyakit buah pinggang, jelas Zaki, ia tidak selalunya dapat ditentukan. Tetapi sebarang bentuk penyakit yang menjejaskan salur darah atau struktur ginjal yang lain boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang.

Rawatan

“Mereka yang berisiko untuk mendapat penyakit ginjal ini seperti pesakit kencing manis, darah tinggi dan beberapa penyakit lain menjalani ujian setiap enam bulan sekali,” tegasnya.

Masalah kegagalan buah pinggang hanya dikesan setelah bertahun atau berbelas tahun ia bermula kerana menyerang secara senyap. Semasa diketahui, penyakit itu sudah di peringkat kronik.


TIDAK banyak pilihan bagi pesakit buah pinggang selain pembedahan transplan atau dialisis sepanjang hidup sekiranya ginjal gagal berfungsi.


Justeru, hanya dialisis atau pembedahan transplan menjadi pilihan. Namun, sekiranya dikesan awal, ia boleh dirawat menggunakan ubatan tertentu.

Menurut Zaki, masalah buah pinggang mempunyai kesan berangkai dengan organ-organ lain terutama jantung.

Walaupun keadaan genetik seseorang turut mempengaruhi kehadiran penyakit ini, perubahan dalam tabiat pemakanan dan gaya hidup boleh menyelamatkan buah pinggang.

Bahana kencing tikus

TIKUS mula aktif seks seawal usia enam minggu dan boleh melahirkan sehingga 170 ekor anak sepanjang hayatnya. - Gambar hiasan


BANYAK pihak terkejut apabila deejay dan personaliti radio dan televisyen popular, Din Beramboi dilaporkan terpaksa dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang setelah dipercayai dijangkiti kuman kencing tikus baru-baru ini.

Pelbagai teori tiba-tiba muncul apatah lagi Din jatuh sakit beberapa hari selepas dia menjalani penggambaran di Zoo Negara. Bagaimanapun, Din disahkan meninggal dunia akibat demam denggi berdarah.

Jangkitan kuman kencing tikus atau leptospirosis yang jarang berlaku itu dipercayai menular daripada haiwan kepada manusia dan kebiasaannya terjadi secara kebetulan.

Menurut Pakar Perunding Veterinar, Dr. Intan Suriati Abdul Manaf, leptospirosis ialah penyakit berjangkit disebabkan bakteria Leptospira sp. yang sangat tipis dan berbentuk pilin seperti mata gerudi.

Bakteria Leptospira juga boleh hidup dalam air tawar selama sebulan malah ia juga boleh membiak di air masin.

170 anak

“Banyak haiwan yang boleh menjadi pembawa kepada bakteria Leptospira, tidak kira ia haiwan peliharaan seperti kucing, arnab, lembu, babi, kuda, anjing dan haiwan liar lain seperti rakun dan serigala.

“Bagaimanapun, tikus dikesan sebagai penyebar utama bakteria ini kerana kitaran hidupnya yang suka makan dan tinggal di tempat kotor (menjadi tempat bakteria Leptospira membiak).

“Iklim negara yang lembap menjadi faktor terbaik kepada pembiakan bakteria ini. Malah, pada suhu sederhana ia boleh hidup lebih lama,” katanya.

Tambah Intan, kitaran hidup tikus yang cepat membiak dan sukar dikawal membantu penyebaran bakteria dengan lebih meluas.

“Jangka hayat tikus betina adalah di antara dua dan tiga tahun tetapi ia sudah boleh bunting dan aktif seks hanya dalam tempoh enam minggu.

“Setiap kelahiran, tikus boleh melahirkan lima hingga tujuh ekor anak tikus. Tikus betina boleh bunting sebaik melahirkan anak,” kata Intan.

Secara purata, dalam kitaran hidup seekor tikus betina, ia boleh bunting sehingga 28 kali dan melahirkan sehingga 170 ekor anak.

Tikus gemarkan sampah dan air bertakung seperti di lorong belakang hotel terkemuka, kolong bawah tanah hinggalah ke petak sawah atau kandang kuda. Rumah yang dijaga rapi juga tidak terkecuali daripada menjadi sasaran makhluk perosak tersebut.

“Bakteria Leptospira akan tersebar melalui cecair yang dikeluarkan oleh tikus seperti air kencing, air liur, darah, air mani dan najis.


DR. INTAN


Rumput

“Malah, tikus betina yang bunting boleh memindahkan bakteria tersebut kepada anak dalam kandungannya.

“Bakteria daripada kencing tikus juga boleh tersebar melalui air atau tanah. Menyentuh pokok atau tanah lembap yang tercemar juga boleh memindahkan bakteria kepada manusia.

“Oleh sebab itu, saya mengesyorkan pemakaian sarung tangan sewaktu melakukan kerja-kerja berkebun dan basuh tangan menggunakan antiseptik,” kata Intan.

Menurut beliau, jangkitan terus bakteria Leptospira daripada tubuh tikus jarang dilaporkan sebaliknya terjadi apabila haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing meminum air dari lopak yang sudah dicemari dengan kencing tikus.

“Kebiasaannya kucing yang meminum air dari tempat bertakung yang telah dicemari kencing tikus berisiko tinggi untuk mendapat leptospirosis.

“Pemilik kucing yang membersihkan kucing dan tersentuh dengan kencing, air liur, tisu atau permukaan lembap lain juga akan terdedah kepada jangkitan ini,” ujarnya.

Gerudi

Simptom penyakit hanya akan muncul dalam masa empat hingga 12 hari selepas kuman atau bakteria Leptospira menjangkiti haiwan atau manusia.

“Lazimnya, bakteria ini boleh memasuki badan manusia melalui luka atau tisu lembut seperti dalam mulut, hidung atau mata. Jika kita pegang haiwan yang dijangkiti leptospirosis dan makan tanpa mencuci tangan, bakteria tersebut akan turut memasuki tubuh sebelum memasuki saluran darah.

“Bakteria ini akan menggerudi sel-sel dalam badan termasuk hati dan buah pinggang. Malah, dua organ tersebut adalah lokasi utama pembiakan bakteria ini.

“Akibatnya, sel-sel organ penting haiwan yang diserang bakteria ini akan rosak dan gagal berfungsi manakala pembuluh darah akan pecah sehingga membawa kepada kencing berdarah,” jelas Intan.

Dalam kes serius, leptospirosis boleh menyebabkan kematian. Tahap jangkitan berbeza antara individu atau haiwan mengikut daya ketahanan masing-masing.

“Sukar untuk mengenal pasti jangkitan ini pada peringkat awal kerana simptom yang ditunjukkan sangat umum.

“Pemeriksaan terperinci melibatkan ujian makmal, ujian darah, analisis air kencing dan beberapa ujian lain perlu dilakukan sebelum mengetahui ia berpunca daripada Leptospira,” ujarnya.

Kata Intan, simptom akan menjadi lebih serius apabila penyakit memasuki fasa kedua dan ketiga kerana ia boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang dan kerosakan hati.


SEORANG petugas Zoo Negara mengusap tikus terbesar 'Capybara' baru-baru ini. - Gambar hiasan


“Apabila dijangkiti, biasanya bakteria Leptospira mengambil masa sekitar 10 hari untuk sampai ke organ penting sebelum menimbulkan gejala.

“Dalam tempoh ini, rawatan sewajarnya perlu diberikan untuk mengelak komplikasi tidak diingini,” kata Intan.

Seperti jangkitan bakteria lain, leptospirosis boleh dirawat dengan mengambil antibiotik seperti penisilin, streptomisin, eritromisin, tetrasiklin dan doksisiklin.

“Kos ujian mengenal pasti bakteria Leptospira tinggi sehingga menyebabkan kebanyakan pemilik haiwan yang dijangkiti kuman itu hanya mengambil rawatan berdasarkan simptom yang ditunjukkan haiwan peliharaan mereka.

“Untuk tujuan itu, antibiotik adalah pilihan utama namun ia tidak akan membunuh bakteria itu sepenuhnya sebaliknya hanya meredakan simptom jangkitan seperti demam panas, muntah, cirit-birit atau demam kuning.

“Malah selepas tiga bulan ia sihat secara klinikalnya, bakteria itu masih ada di tubuhnya,” jelasnya.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin