Mengubah tabiat pemakanan

Bagaimanakah pemakanan yang sihat dapat mencegah daripada penyakit?


SUMBER protein yang terbaik adalah sayur-sayuran yang berwarna-warni.


KESIHATAN rakyat Malaysia pada masa kini semakin diancam dengan pelbagai penyakit. Generasi hari ini lebih mengutamakan makanan yang lazat tanpa mempedulikan kesannya pada kesihatan.

"Anda ialah doktor kepada makanan," ujar ahli sains sosial merangkap Pegawai Penyelidik Kanan di Institut Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr. Lim Hin Fui pada sesi ceramahnya yang bertajuk Hidup Sihat Tanpa Ubat, baru-baru ini.

Jelasnya, masih ramai rakyat Malaysia yang kurang memahami kesan-kesan pemakanan dan perubatan moden sehingga mereka yang berusia seawal 40 tahun hingga 50 tahun mula menghidap pelbagai penyakit kronik.

"Sejak tahun 1996, keluarga saya telah mengubah tabiat pemakanan dengan mengambil makanan yang sihat dan telah mempraktikkannya dalam kehidupan seharian kami.

"Amalan ini berterusan sehingga ke hari ini dan kami tidak pernah terfikir untuk kembali kepada tabiat pemakanan lama," ujarnya.

Kesan daripada amalan tersebut, bapa mertuanya yang menghidap kanser prostat tidak perlu menjalani rawatan radioterapi atau kemoterapi.

Berkongsi cara mengubah tabiat pemakanan jelas Dr. Hin Fui, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah dengan menukar beras putih kepada beras perang untuk hidangan makan tengah hari dan malam.

"Apabila anda menukar beras, lakukan dengan perlahan-lahan supaya ia boleh diterima oleh ahli keluarga yang lain.

"Misalnya, anda boleh bermula dengan mencampur 95 peratus beras putih dan lima peratus berang perang pada minggu pertama.


CARA pertama mengubah tabiat pemakanan adalah dengan menukar beras putih kepada beras perang.


"Pada minggu berikutnya, peratus beras putih hendaklah dikurangkan manakala peratusan beras perang perlu ditambah," katanya harga bukan punca utama seseorang gagal memilih sesuatu yang baik untuk kesihatan diri.

Beras perang kaya dengan kanji, galian dan vitamin. Protein yang terkandung dalam beras perang membantu mengurangkan kadar kolesterol dalam darah dan mencegah penyakit kardiovaskular.

Vitamin B1, B2 dan E yang ada di dalamnya juga dapat melambatkan proses penuaan. Malah beras ini juga dapat mewujudkan satu persekitaran yang baik untuk pertumbuhan bakteria baik, melancarkan sistem pencernaan dan meningkatkan daya sistem ketahanan tubuh.

Selain itu, beras perang juga membantu menurunkan berat badan, mengawal kencing manis dan mengelakkan kanser perut.

Langkah kedua jelas Dr. Hin Fui lagi, amalan menukar protein haiwan kepada protein tumbuh-tumbuhan.

Ia berperanan mengekalkan tahap kesihatan, protein membantu membina sel, melindungi sistem badan dan menguatkan sistem ketahanan badan.

Adakah protein daripada haiwan baik untuk kesihatan dalam jangka masa panjang?

"Pada tahun 1996, keluarga saya telah membuat keputusan agar tidak mengambil makanan berasaskan daging kerana menganggap ia mempunyai kandungan asid yang tinggi.


GENERASI hari ini lebih mengutamakan makanan yang lazat tanpa mempedulikan kesannya pada kesihatan.


"Dari segi kandungan lemak pula, daging merupakan sumber protein yang mengandungi banyak asid lemak tepu dan kolesterol," katanya.

Beliau percaya, pemakanan yang berasaskan daging juga merupakan penyebab utama penyakit jantung, strok, darah tinggi, kanser, hipoglesemia dan pelbagai penyakit kronik.

Pada zaman ini makanan haiwan ternakan telah dicampur dengan pelbagai antibiotik dan ubat-ubatan untuk mencegah penyakit.

Apakah jalan terbaik memperoleh protein untuk tubuh? "Mungkin anda tidak menyedari bahawa sumber protein yang terbaik adalah daripada sayur-sayuran berwarna-warni?

"Sekiranya kita mengambil sayuran mentah setiap hari, badan kita akan menerima protein yang diperlukan oleh badan kerana protein tidak akan hilang semasa memasak.

"Selain itu, makanan yang tinggi kandungan kolesterolnya juga harus dihindari. Ini kerana, makanan yang mengandungi banyak lemak, mendedahkan kita kepada penyakit hati berlemak," jelas beliau.

Lemak berlebihan boleh menyebabkan hati berasid dan menjadi keras.

Tidak dinafikan, agak sukar untuk mengambil makanan berasaskan sayur-sayuran untuk makan tengah hari dan malam.

Langkah terbaik ialah pengambilan lebih banyak sayur-sayuran segar dan buah-buahan yang ditanam sendiri.

"Umumnya pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan yang maksimum sememangnya baik untuk kesihatan. Bagaimanapun, terlalu banyak mengambil makanan ini juga boleh membawa kesan buruk.

"Selain itu, kita harus berhati-hati dalam pengambilan sayur-sayuran dan buahan-buahan. Dari semasa ke semasa, ada petani yang menggunakan racun serangga yang terlalu banyak. Dalam jangka masa panjang, makanan jenis ini boleh membawa kepada penyakit hati, kerosakan saraf dan kanser," nasihat beliau

panduan mencegah hamil

Bagaimanakah Mirena menjadi medium paling efektif bagi mencegah kehamilan tanpa sebarang kesan sampingan?


WANITA boleh hamil tanpa sebarang kesan sampingan selepas Mirena dikeluarkan.


DETIK menunggu kelahiran adalah sesuatu yang mengujakan bagi pasangan suami isteri. Ini kerana, anak tersebut bakal menjadi pelengkap kepada hubungan hidup berumah tangga.

Namun, selepas melahirkan anak pertama atau kedua, ada sesetengah pasangan ingin merancang keluarga.

Malangnya, kegagalan kaedah mencegah kehamilan menyebabkan sesetengah pasangan mendapat anak dalam keadaan tidak bersedia.

Ini akan mempengaruhi emosi isteri, sekali gus memberi kesan terhadap anak dalam kandungan.

Ia juga boleh mendatangkan masalah kepada hubungan suami isteri dan dalam sesetengah kes, ia menjejaskan keharmonian rumah tangga.

Justeru, kaedah pencegah kehamilan merupakan satu keperluan.

Ini penting terutama bagi mereka yang baru bersalin atau mempunyai masalah kesihatan untuk hamil lagi dalam jarak masa yang dekat selepas kelahiran.




Ketua Unit Perkembangan Kendiri & Profesionalisme (PPD) dan Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi (O&G) Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Madya Dr. Harlina Halizah Siraj memberitahu, pasangan suami isteri yang ingin merancang perlu berjumpa pakar sakit puan bagi membincangkan kaedah yang sesuai dan tidak mendatangkan kesan sampingan.

"Antara teknologi terkini dalam mencegah kehamilan ialah Mirena iaitu menanam alat dalam rahim (IUS).

"Mirena ialah alat mencegah kehamilan yang mudah dikeluarkan dari rahim, mudah dikawal, bertindak dalam tempoh yang lama, selamat dan berkesan," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui.

Ujarnya, Mirena merupakan alat plastik berbentuk T yang kecil dan mudah dilentur. Ia dimasukkan ke dalam rahim untuk tempoh yang diingini. Tempoh maksimum adalah lima tahun.

Menurutnya, sarung di sekeliling alat itu akan melepaskan sedikit dos hormon levonorgestrel pada kadar yang tetap.

"Kegunaannya adalah untuk mengawal hormon wanita dan kitaran haid terutamanya bagi wanita yang berumur 40 tahun ke atas," katanya.

Harlina memberitahu, kaedah pemandulan sementara itu membolehkan wanita hamil semula apabila alat tersebut dikeluarkan.

"Wanita boleh hamil tanpa sebarang kesan sampingan dalam tempoh satu bulan pertama Mirena dikeluarkan," katanya.


ALAT dalam rahim (IUS) iaitu Mirena berbentuk T dan mudah dilenturkan ke dalam rahim.


Mirena bertindak sebagai alat untuk menghalang sperma menembusi ovari wanita. Mukus atau lendir pangkal rahim juga akan menjadi tebal sehingga sperma tidak dapat menembusi untuk mensenyawakan telur.

Ia juga merencat pergerakan sperma dalam rahim.

Mengulas lanjut, Harlina memberitahu, ramai wanita terutamanya mereka yang telah melahirkan anak akan mengalami haid yang abnormal sama ada pengeluaran yang terlalu banyak, berpanjangan atau sedikit.

Katanya, haid yang banyak dan berlarutan itu akan menyebabkan wanita menghidap anemia atau kekurangan zat besi, sakit kejang otot dan sakit pinggang.


WANITA yang melahirkan ramai anak berisiko mengalami tumpah darah ketika bersalin disebabkan rahim yang gagal mengecut.


"Setiap bulan, endometrium akan menebal. Proses penebalan ini diatur dan dikawal oleh hormon. Endometrium yang menebal pada peringkat awal kitaran haid adalah sebagai persediaan untuk menerima telur yang tersenyawa.

"Jika persenyawaan tidak berlaku, mukrosa rahim diluruhkan apabila kitaran berakhir dan dikumuh sebagai darah haid.

"Hanya lapisan endometrium yang nipis akan diluruhkan. Itu sebabnya, darah yang keluar pada penghujung kitaran haid semakin berkurangan," katanya.

Sementara itu, Profesor Ginekologi dan Endoktrinologi, Universiti Copenhagen, Denmark, Sven O. Skouby, memberitahu, pasangan suami isteri kini mempunyai pelbagai kaedah merancang kehamilan dengan tambahan kebaikan-kebaikan lain.

"Untuk pencegahan jangka panjang dan juga tanpa kesan sampingan, IUS Mirena adalah kaedah paling sesuai. Ini kerana, ia bukan sahaja sesuai untuk merancang kehamilan tetapi juga untuk menstabilkan keadaan wanita selepas mempunyai anak yang ramai," katanya pada majlis memperkenalkan IUS Mirena anjuran syarikat Bayer Healthcare di Hotel Crown Plaza Mutiara, Kuala Lumpur.

Jelasnya, wanita yang melahirkan ramai anak berisiko mengalami tumpah darah ketika bersalin disebabkan rahim yang gagal mengecut.

Tumpah darah juga katanya, boleh membawa kepada kematian dan juga risiko mengalami embolisma.

Embolisma adalah keadaan di mana sesuatu jisim seperti darah beku yang asalnya terdapat pada dinding vena darah. Ia kemudiannya lekang dan memasuki aliran darah ke salur darah paru-paru. Ia boleh menyumbat pada mana-mana pembuluh darah yang akhirnya membawa kepada kematian.

matahari sumber vitamin

Kekurangan vitamin D punca jisim tulang warga kota menyusut dengan pantas.


MENDEDAHKAN kulit selama 10 minit kepada sinaran matahari pagi dapat menghasilkan vitamin D yang mencukupi.


“KITA mungkin menitikberatkan pengambilan kalsium namun seringkali kita terlupa akan kepentingan vitamin D dalam penjagaan kesihatan harian,” ulas Pakar Nutrisi dan Dietetik, Universiti Perubatan Antarabangsa Malaysia (IMU), Prof. Madya Dr. Winnie Chee.

Ujarnya, tanpa vitamin D, penyerapan kalsium dalam tubuh sukar dilakukan. Malah, dalam kes-kes ekstrem, ia akan mempercepatkan berlakunya penyusutan jisim dalam tulang atau dikenali sebagai osteoporosis.

Berdasarkan penyelidikan Winnie, tubuh rakyat Malaysia lazimnya tidak menghasilkan vitamin D yang mencukupi kerana mereka gemar menjauhkan diri daripada sinaran matahari.

“Saya akui ramai antara kita terutama wanita suka berjoging dan bersenam. Namun faktor pemilihan tempat dan masa membuatkan mereka tidak sihat secara total,” katanya.

Menurut Winnie, bersenam pada awal pagi iaitu sebelum matahari naik serta lebih selesa dilakukan di dalam gimnasium tertutup membuatkan penghasilan vitamin D secara semula jadi sukar berlaku.

Jelasnya lagi, vitamin D3 yang penting untuk kulit terhasil apabila 7-dehydrocholestrol bertindak balas dengan ultra-violet dalam kiraan gelombang antara 270-300 nanometer (nm).


DR. WINNIE CHEE


“Walaupun kehadiran gelombang ini hanya selama 10 hingga 15 minit semasa matahari terbit, pendedahan terhadapnya amat penting untuk pembentukan vitamin D,” ungkapnya.

Winnie turut mendedahkan bahawa wanita di bandar, terutama di Kuala Lumpur, bukan sahaja mengalami penyusutan jisim tulang malah vitamin D.

Tanpa pendedahan yang secukupnya terhadap matahari, kandungan vitamin D dalam tubuh akan berkurangan dengan pantas.

Faktor ini, secara tidak langsung membuktikan terdapat kaitan antara kehilangan kalsium dalam tubuh dan vitamin D. Tanpa kombinasi antara kedua-duanya, kesihatan tulang mudah terjejas.

“Meskipun terdapat suplemen vitamin D di pasaran, namun mendapatnya secara semula jadi amat penting. Justeru, jangan takut untuk terkena pancaran matahari, terutama pada awal pagi,” tegasnya.

Lebih daripada itu, vitamin D juga didapati mampu menjadi agen pelindung kepada mereka yang menghidap kanser khususnya kanser kolon, prostat, dan payu dara.

Walaupun kajian masih dilakukan, namun keputusan awal menunjukkan terdapat kesan positif dalam membantu melindungi orang ramai daripada risiko kanser.

Dalam pada itu, pengambilan vitamin secara berlebihan juga memberi impak tersendiri pada kesihatan seseorang seperti muntah, pening, lemah anggota badan dan kehilangan berat badan.

“Lebih membimbangkan, dos berlebihan ini akan meningkatkan tahap kalsium dalam darah pesakit termasuk mengakibatkan ritma jantung yang abnormal dan kekeliruan.

“Jadi, amat mustahak vitamin D diambil mengikut dos yang betul dan diawasi serta dinasihati oleh pakar kesihatan,” katanya.

– SHANIKA ABDULLATIB

Sumber vitamin D

MAKANAN:

Daging, ikan

- Salmon, tuna, mackerel
- Minyak ikan adalah sumber terbaik vitamin D iaitu sebanyak 1,360 IU dalam setiap hidangan
- Telur (20IU)
- Keju (12IU)
- Susu tanpa lemak (98IU)
- Bijirin segera (40IU)

Pendedahan pada matahari

Sinaran lembayung (UV) radiasi B dengan gelombang antara 290 hingga 315nm mampu membenam ke dalam kulit lalu menukarkan 7-dehydrocholesterol kepada pravitamin D3 yang akhirnya akan menjadi vitamin D3.

Radiasi UVB tidak dapat melalui cermin. Jadi pendedahan matahari di dalam bilik melalui tingkap tidak akan menghasilkan vitamin D.

* IU - Unit Antarabangsa

Sumber: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

Kulit bersisik penyakit Ichthyosis

Satu kes dalam 300,000 kelahiran menjadikan penyakit ini unik.


IRSHAD menghidap penyakit kulit bersisik sejak berusia enam bulan.



DR. CHOY YEW SING






PESAKIT kulit bersisik menjadi lebih sensitif terhadap perubahan suhu sejuk dan panas.


"DIPEGANG salah, didukung salah. Yang dia mahu ialah badannya sentiasa sejuk dan digaru selalu," luah Azizan Mohd. Yusof, 50, dari Kampung Siput, Baling, Kedah, mengenai anaknya, Irshad, dua tahun, yang menghidap sejenis penyakit kulit kronik sejak berumur enam bulan.

Malah setiap kali anaknya itu menangis kerana pedih akibat peluh, hati Azizan dan isteri diruntun pilu. Apatah lagi melihat anggota badan permata hati mereka itu penuh dengan kepingan kulit yang mengelupas.

Bukannya sedikit, bahkan setiap inci tubuh anaknya itu, dari hujung kepala ke hujung kaki, mengelupas hingga menegangkan struktur permukaan kulitnya.

Menurut Pakar Runding Genetik Kanak-kanak, Pusat Perubatan Sime Darby, Dr. Choy Yew Sing, penyakit kulit bersisik yang berpunca daripada faktor genetik itu amat jarang berlaku.

"Ichthyosis terjadi dalam satu daripada 300,000 kelahiran. Ia melibatkan gen pesakit yang bermutasi," kata doktor pakar yang merawat Irshad ini.

Yew Sing berkata, perubahan genetik yang berlaku secara spontan atau menerusi salasilah keluarga merupakan antara punca penyakit ini.

Beliau menambah, penyakit berkaitan genetik amat kompleks. Simptomnya juga mungkin atau tidak muncul langsung sewaktu dilahirkan.

"Secara mudahnya, ada sesetengah Ichthyosis dilahirkan bersama-sama pesakit seperti kes Irshad ini," katanya. Beliau, bagaimanapun, berkata, penyakit ini tiada kaitan dengan bangsa, jantina atau umur seseorang.

Keadaan pesakit akan bertambah parah seandainya mereka mempunyai alergi terhadap sesuatu seperti makanan atau persekitaran.

Namun, Pakar Runding Dermatologi, Dr. Koh Chuan Keng menjelaskan, kaedah rawatan yang sistematik dapat mengurangkan kesan penyakit itu.

"Ia adalah penyakit yang perlu ditanggung seumur hidup. Maksudnya, tiada rawatan yang dapat menyembuhkannya. Namun dengan penggunaan krim dan pendedahan kepada cahaya matahari secara berperingkat, pengelupasan kulit tersebut dapat dikurangkan," katanya.

Tambah Chuan Keng, disebabkan gen yang mengawal pengelupasan kulit ini bermutasi, permukaan kulit menjadi kering dan mengelupas pada kadar abnormal.

Secara normalnya, kulit manusia adalah hidup dan diperbaharui dengan 'gugur' secara semula jadi dalam kitaran proses selama 14 hari.

Bagi pesakit Ichthyosis, proses itu tidak mengikut kitaran tersebut. Ia terbentuk dengan lebih pantas dan banyak berbanding keupayaannya untuk 'gugur'.

"Justeru, kulit mengelupas, seolah-olah bersisik serta kering menjadi lumrah pada pesakit Ichthyosis ini," katanya.

Jelas Chuan Keng lagi, salah satu fungsi kulit adalah mengawal suhu dalaman. Namun begitu, bagi pesakit Ichthyosis, mereka menjadi lebih sensitif terhadap perubahan suhu sejuk dan panas.

Secara tidak langsung, suhu panas yang melampau merupakan masalah utama mereka. Malah keadaan boleh menjadi lebih serius apabila pesakit ini terlibat atau berada di dalam keadaan yang membuatkan mereka berpeluh walaupun sedikit.

"Dengan keadaan cuaca dan persekitaran yang tidak menentu, keadaan kulit pesakit akan menjadi lebih parah tanpa penggunaan krim pelembap seperti emolien," katanya yang turut menegaskan Ichtyosis bukan penyakit berjangkit.

Detoksifikasi penyakit

Rawatan bekam juga membantu dalam menaikkan seri wajah kerana aliran darah lebih lancar.







KEINGINAN untuk hidup sihat dan kelihatan cantik membuatkan sesetengah individu sanggup mencuba pelbagai rawatan kesihatan.

Selain perubatan moden, perubatan alternatif juga mula mendapat tempat terutamanya golongan wanita.

Setelah penat seharian bekerja dan menguruskan rumah tangga, mereka tiada masa untuk menjaga kesihatan dan memanjakan tubuh badan.

Hari ini, terdapat pelbagai kaedah boleh digunakan lelaki dan wanita untuk menghilangkan stres serta memulihkan kelesuan tubuh.

Salah satu rawatan yang boleh dilakukan tanpa rasa sakit adalah terapi bekam.

Ia adalah satu proses untuk membuang darah kotor dari dalam badan melalui permukaan kulit.

Jika dahulu bahan dan teknik yang digunakan agak ngeri iaitu melalui teknik torehan dan buluh. Ramai yang menyifatkan ia sakit dan berbahaya. Terutama jika pesakit tersebut penghidap Human Immunodeficiency Virus (HIV).

Kini, kaedah bekam turut melalui satu evolusi apabila mangkuk kaca dan alat peniti khas berjarum halus digunakan. Jarum yang digunakan juga ditukar.

Ini diakui sendiri oleh Pengasas Pusat Homeopati dan Bekam, Dr. Nik Omar Nik Daud, apabila teknik bekam kini menggunakan teknologi moden dan selamat.

Beroperasi di Bandar Baru Bangi, Selangor, peralatan seperti mangkuk yang digunakan akan dibersihkan terlebih dahulu melalui proses pensterilan sebelum digunakan kepada pesakit lain.

"Tidak timbul soal bahaya dalam rawatan ini. Mangkuk yang digunakan terdiri daripada pelbagai bentuk. Ia akan digunakan mengikut umur dan berat badan pesakit.

"Malah, jarum yang digunakan ke atas pesakit juga tidak akan digunakan kepada pesakit lain," katanya ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.


JARUM yang digunakan kepada pesakit tidak akan dikongsikan dengan pesakit lain.


Nik Omar yang mempraktikkan bekam, akupuntur dan homeopati lebih daripada suku abad memberitahu, ramai yang tidak menyedari bahawa terdapat banyak toksik yang terperangkap di dalam tubuh badan mereka.

"Disebabkan itu, mereka sering merasa lenguh-lenguh badan, penat dan tidak bermaya. Amalan berbekam penting bagi memulihkan kembali fungsi tubuh kepada asal," kata anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini.

Secara saintifiknya, penyakit di dalam tubuh berpunca daripada makanan yang tidak seimbang.

Makanan pula akan dicernakan di dalam perut. Kapilari-kapilari dari perut pula akan menyerap zat-zat yang penting dan menjadi nutrien dalam darah.

Sisa-sisa daripada proses pencernaan pula akan dibuang dari tubuh badan sebagai najis, air kencing dan perpeluhan dari seluruh badan.

Darah yang mengandungi nutrien akan mengalir ke semua organ-organ dalam tubuh badan seperti hati, paru-paru, jantung, kelenjar, otak, organ pencernaan, ginjal, organ pembiakan dan lain-lain lagi.


RAWATAN bekam disaran dilakukan sekurang- kurangnya sebulan sekali.


Darah juga akan mengambil bahan-bahan buangan dalam darah dan mengangkutnya ke paru-paru, ginjal dan kulit untuk dikeluarkan daripada tubuh badan manusia.

Kegagalan bahan toksik dikumuhkan melalui sistem perpeluhan akan akan menyebabkan darah yang bertoksik terperangkap antara tiga milimeter hingga empat milimeter di bawah permukaan kulit.


KEBANYAKAN penyakit berpunca daripada pemakanan yang tidak seimbang. – Gambar hiasan






MANGKUK yang digunakan untuk menyedut darah melalui proses pensterilan.


Bekam boleh dilakukan pada mana-mana bahagian tubuh kecuali bahagian yang bertulang dan berongga. "Lazimnya, ramai yang memilih bahagian belakang. Darah yang dikeluarkan melalui proses bekam lazimnya berwarna merah kehitaman dan agak sedikit likat. Adakanya ia juga berketul-ketul.

"Bergantung pada bahagian tubuh, kawasan yang mempunyai kandungan toksik yang tinggi akan mengeluarkan darah yang banyak," jelas Nik Omar. Adakah bahagian yang dicucuk jarum itu terasa pedih apabila mandi? Jelas Nik Omar: "Tidak, anda boleh mandi seperti biasa."

Bekam dikatakan teknik detoksifikasi yang berkesan, dapat merawat pelbagai penyakit dan memulihkan fungsi tubuh.

Dalam pada itu, wanita yang ingin datang ke pusat Nik Omar untuk sesi rawatan tidak perlu risau kerana mereka akan dirawat oleh dua orang pembantu wanita yang berpengalaman hampir lima tahun dalam teknik bekam.

Nur Shazatul Shafiqa Ab. Gafa, 23, mahir melakukan kaedah bekam yang dipelajarinya daripada Nik Omar hampir lima tahun.

Sejak kecil lagi Shafiqa berminat dengan perubatan alternatif. Lebih-lebih lagi apabila dia mendapat sokongan daripada bapanya.

"Ia adalah satu cabaran apabila kita mempelajari sesuatu yang berbeza. Mempelajari teknik berbekam bukanlah sesuatu yang sukar. Saya gembira apabila ayah menyetujui minat saya ini," kata gadis yang berasal dari Pahang itu.

Menurutnya, dalam sehari sebanyak empat hingga lima orang wanita atau lelaki datang melakukan rawatan bekam sama ada yang ingin membuang toksik atau mempunyai penyakit.

Tambahnya, selain untuk kesihatan, kaedah rawatan alternatif ini juga membantu dalam menaikkan seri wajah kerana aliran darah telah lancar.

Sebiji epal sehari

Sebagai buah-buahan pencuci mulut, epal bukan sahaja enak dimakan tetapi dijadikan snek kesihatan bagi mengurangkan risiko sakit jantung, kanser dan kolesterol darah.


KANDUNGAN serat epal berupaya mengisi perut yang lapar.



PIGMEN merah yang terdapat pada buah epal adalah antioksida semula jadi.





MUNGKIN ramai yang memilih buah epal sebagai snek harian sebelum menikmati sarapan pagi, tengah hari atau malam. Hakikatnya, masih ramai yang belum mengetahui khasiat sebiji epal.

Buah yang mempunyai tekstur kulit yang licin, warna hijau dan merah itu antara buah-buahan yang mempunyai kelebihan dalam diet pemakanan dan sistem tubuh.

Terdapat pelbagai sebab mengapa kita perlu makan sekurang-kurangnya sebiji epal setiap hari. Satu kajian mendapati mereka yang makan lebih lima biji epal seminggu memiliki fungsi paru-paru yang lebih sihat berbanding mereka yang langsung tidak makan epal.

Para saintis juga mengesahkan epal merupakan penyumbang kepada kesihatan jantung.

Pengambilan dua hingga tiga biji epal sehari dapat mengurangkan tahap kolesterol dalam badan.

Menurut pakar pemakanan di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, Tan Yeng Sing, epal menjadi kegemaran bukan sahaja kerana rasanya tetapi khasiatnya.

"Epal tidak mengandungi lemak, sebaliknya mempunyai kandungan nutrien dan serat termasuk antioksida yang meningkatkan prestasi badan dan kulit seseorang.

"Serat yang terdapat pada biji dan kulit epal membantu mengurangkan kekenyangan dan mencegah anda daripada makan berlebihan," katanya.

Tambah beliau, sebiji epal wajar diambil setengah jam atau satu jam sebelum anda menikmati hidangan utama setiap hari, iaitu antara makan tengah hari dan malam.

Dengan cara itu, kita mengurangkan hidangan yang diambil kerana kandungan serat sudah berupaya mengisi perut anda yang lapar.

Bercerita mengenai kelebihan buah epal merah, pigmen merah yang terdapat pada kulit buah tersebut mengandungi sejenis bahan yang dipanggil likopena.

"Ia adalah rahsia yang membuatkan buah epal sangat luar biasa. Bahan ini mempunyai pelbagai khasiat antioksida semula jadi yang baik untuk kesihatan badan.

"Selain antioksida yang berfungsi menjauhkan seseorang daripada serangan kanser kerana melawan radikal bebas dalam tubuh, likopena juga baik untuk mengurangkan risiko jantung.

"Likopena dikenal pasti membantu merendahkan paras kolesterol LDL (kolesterol jahat)," jelasnya sambil memberitahu epal merah mengandungi komponen likopena yang lebih tinggi sementara epal hijau mengandungi karotenoid.

Bagaimanapun, kajian menunjukkan epal sememangnya baik untuk mengurangkan risiko sakit jantung dan kanser, sekali gus mengurangkan kolesterol darah.

"Seperti kebanyakan buah, epal mengandungi vitamin C. Ia juga hos sebatian antioksida lain bagi mengurangkan risiko kanser dengan menghalang kerosakan deoksirinukleik (DNA).

"Kandungan seratnya membantu mengawal pergerakan usus dan merendahkan risiko kanser kolon," ujarnya.

Bagaimanapun, nasihat Yen Sing, elakkan pengambilan buah yang mempunyai warna yang sama setiap hari. Katanya, untuk mendapatkan diet yang ideal, kita seharusnya mempelbagaikan jenis buah-buahan dan juga warnanya, termasuk sayur-sayuran.

Justeru, pakar diet mengesyorkan pengambilan makanan daripada warna-warna pelangi. Cara tersebut bukan sahaja baik untuk kesihatan badan, malah membantu kita mendapatkan pemakanan yang seimbang.

"Amalkan pengambilan buah-buahan yang segar seperti epal, strawberi, oren, kiwi dan salad berbanding buah-buahan atau pemakanan yang telah diproses," kata Yen Sing.

Sementara itu, dalam usaha menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menikmati buah epal, Suruhanjaya Epal Washington (WAC) telah menganjurkan siri program pendidikan dan promosi kepada orang ramai bermula bulan Mei ini.

Untuk memberikan ganjaran hebat kepada para penggemar epal, program pertukaran epal Washington akan diadakan di semua gedung terbesar Giant, Cold Storage dan Jusco di seluruh Malaysia.

Di gedung-gedung itu, dengan setiap pembelian minimum epal Washington, para pembeli akan menerima cenderamata menarik seperti cawan dan rantai kunci daripada pihak WAC. Tawaran ini sah selagi stok masih ada.

"Bagi memastikan rakyat Malaysia sentiasa kekal sihat, WAC memberikan epal percuma kepada kakitangan di salah sebuah pusat kecergasan utama, True Fitness, di Jaya 33, Petaling Jaya, Selangor dan kepada 55 orang kanak-kanak kurang bernasib baik dari Rumah Hope, Petaling Jaya," jelas wakil pasaran WAC, Eddie Saw

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin