panduan mencegah hamil

Bagaimanakah Mirena menjadi medium paling efektif bagi mencegah kehamilan tanpa sebarang kesan sampingan?


WANITA boleh hamil tanpa sebarang kesan sampingan selepas Mirena dikeluarkan.


DETIK menunggu kelahiran adalah sesuatu yang mengujakan bagi pasangan suami isteri. Ini kerana, anak tersebut bakal menjadi pelengkap kepada hubungan hidup berumah tangga.

Namun, selepas melahirkan anak pertama atau kedua, ada sesetengah pasangan ingin merancang keluarga.

Malangnya, kegagalan kaedah mencegah kehamilan menyebabkan sesetengah pasangan mendapat anak dalam keadaan tidak bersedia.

Ini akan mempengaruhi emosi isteri, sekali gus memberi kesan terhadap anak dalam kandungan.

Ia juga boleh mendatangkan masalah kepada hubungan suami isteri dan dalam sesetengah kes, ia menjejaskan keharmonian rumah tangga.

Justeru, kaedah pencegah kehamilan merupakan satu keperluan.

Ini penting terutama bagi mereka yang baru bersalin atau mempunyai masalah kesihatan untuk hamil lagi dalam jarak masa yang dekat selepas kelahiran.




Ketua Unit Perkembangan Kendiri & Profesionalisme (PPD) dan Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi (O&G) Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Madya Dr. Harlina Halizah Siraj memberitahu, pasangan suami isteri yang ingin merancang perlu berjumpa pakar sakit puan bagi membincangkan kaedah yang sesuai dan tidak mendatangkan kesan sampingan.

"Antara teknologi terkini dalam mencegah kehamilan ialah Mirena iaitu menanam alat dalam rahim (IUS).

"Mirena ialah alat mencegah kehamilan yang mudah dikeluarkan dari rahim, mudah dikawal, bertindak dalam tempoh yang lama, selamat dan berkesan," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui.

Ujarnya, Mirena merupakan alat plastik berbentuk T yang kecil dan mudah dilentur. Ia dimasukkan ke dalam rahim untuk tempoh yang diingini. Tempoh maksimum adalah lima tahun.

Menurutnya, sarung di sekeliling alat itu akan melepaskan sedikit dos hormon levonorgestrel pada kadar yang tetap.

"Kegunaannya adalah untuk mengawal hormon wanita dan kitaran haid terutamanya bagi wanita yang berumur 40 tahun ke atas," katanya.

Harlina memberitahu, kaedah pemandulan sementara itu membolehkan wanita hamil semula apabila alat tersebut dikeluarkan.

"Wanita boleh hamil tanpa sebarang kesan sampingan dalam tempoh satu bulan pertama Mirena dikeluarkan," katanya.


ALAT dalam rahim (IUS) iaitu Mirena berbentuk T dan mudah dilenturkan ke dalam rahim.


Mirena bertindak sebagai alat untuk menghalang sperma menembusi ovari wanita. Mukus atau lendir pangkal rahim juga akan menjadi tebal sehingga sperma tidak dapat menembusi untuk mensenyawakan telur.

Ia juga merencat pergerakan sperma dalam rahim.

Mengulas lanjut, Harlina memberitahu, ramai wanita terutamanya mereka yang telah melahirkan anak akan mengalami haid yang abnormal sama ada pengeluaran yang terlalu banyak, berpanjangan atau sedikit.

Katanya, haid yang banyak dan berlarutan itu akan menyebabkan wanita menghidap anemia atau kekurangan zat besi, sakit kejang otot dan sakit pinggang.


WANITA yang melahirkan ramai anak berisiko mengalami tumpah darah ketika bersalin disebabkan rahim yang gagal mengecut.


"Setiap bulan, endometrium akan menebal. Proses penebalan ini diatur dan dikawal oleh hormon. Endometrium yang menebal pada peringkat awal kitaran haid adalah sebagai persediaan untuk menerima telur yang tersenyawa.

"Jika persenyawaan tidak berlaku, mukrosa rahim diluruhkan apabila kitaran berakhir dan dikumuh sebagai darah haid.

"Hanya lapisan endometrium yang nipis akan diluruhkan. Itu sebabnya, darah yang keluar pada penghujung kitaran haid semakin berkurangan," katanya.

Sementara itu, Profesor Ginekologi dan Endoktrinologi, Universiti Copenhagen, Denmark, Sven O. Skouby, memberitahu, pasangan suami isteri kini mempunyai pelbagai kaedah merancang kehamilan dengan tambahan kebaikan-kebaikan lain.

"Untuk pencegahan jangka panjang dan juga tanpa kesan sampingan, IUS Mirena adalah kaedah paling sesuai. Ini kerana, ia bukan sahaja sesuai untuk merancang kehamilan tetapi juga untuk menstabilkan keadaan wanita selepas mempunyai anak yang ramai," katanya pada majlis memperkenalkan IUS Mirena anjuran syarikat Bayer Healthcare di Hotel Crown Plaza Mutiara, Kuala Lumpur.

Jelasnya, wanita yang melahirkan ramai anak berisiko mengalami tumpah darah ketika bersalin disebabkan rahim yang gagal mengecut.

Tumpah darah juga katanya, boleh membawa kepada kematian dan juga risiko mengalami embolisma.

Embolisma adalah keadaan di mana sesuatu jisim seperti darah beku yang asalnya terdapat pada dinding vena darah. Ia kemudiannya lekang dan memasuki aliran darah ke salur darah paru-paru. Ia boleh menyumbat pada mana-mana pembuluh darah yang akhirnya membawa kepada kematian.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin