Pengawal kanser payu dara

Dengan mengenal pasti Nod Sentinel, pesakit dapat mengelak daripada kehilangan dua pertiga nod limfa di bawah ketiak akibat kanser payu dara.


NOD Sentinel yang disuntik radioisotop ini menunjukkan kedudukan dan saiznya.


MARIA, 36, cantik rupa parasnya. Namun, lengannya sedikit cacat. Dia mengalami pembengkakan teruk selepas menjalani pembedahan bawah ketiak untuk mengeluarkan dua per tiga daripada nodus limfa di bahagian itu bagi merawat kanser payu dara yang dialaminya.

Nampaknya penderitaan Maria belum berakhir, biarpun sudah menemukan jawapan sementara untuk penyakit kanser yang dihidapinya.

“Alternatif kepada kaedah tradisional itu ialah Biopsi Nod Sentinel (SNB), iaitu penjagaan standard dalam pengurusan kanser payu dara yang kini diamalkan di seluruh dunia.

“Melalui kaedah itu, komplikasi seperti itu hampir tidak kelihatan,” ujar Konsultan Pakar Bedah Payu Dara dan Endokrin di Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Harjit Kaur.

Sentinel bermaksud ‘pengawal’ kepada ketiak (axilla). Ia digambarkan sebagai nod limfa pertama yang diserang kanser sekiranya pesakit menghidap kanser payu dara. Oleh itu, dengan mengenal pasti nod limfa itu, pakar perubatan dapat menentukan sama ada kanser sudah merebak kepada nod limfa yang selebihnya.

“SNB ialah teknik invasif yang melibatkan pembedahan kecil yang digerakkan oleh sekumpulan pakar terlatih yang terdiri daripada pakar bedah payu dara, pakar radiologi payu dara, pakar perubatan nuklear dan pakar patologi.

“Teknik ini paling sesuai bagi pesakit yang menghidap kanser payu dara di peringkat awal dengan tumor bersaiz kurang daripada tiga sentimeter,” kata Harjit.


HARJIT KAUR


Walaupun sudah 10 tahun bertapak dalam dunia perubatan, hanya Pusat Perubatan Prince Court di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, yang menawarkan prosedur itu sepenuhnya di Malaysia.

Dimulakan dengan suntikan radioisotop di keliling payu dara, selepas satu tempoh, imbasan sinar-X limfosintigram pada payu dara dan ketiak dilakukan.

Dengan menggunakan bantuan alat pengimbas gammaprobe tangan, nod sentinel dikenal pasti dan ditandakan. Selepas itu pesakit akan dibedah.

“Pembedahan tersebut melibatkan pemotongan pada kulit antara satu hingga dua sentimeter. Dengan bantuan pewarna biru, nod yang berwarna biru dan ‘panas’ dapat dikesan dengan lebih mudah.

“Nod limfa yang dikeluarkan itu kemudiannya akan dihantar untuk melalui teknik kaji hayat khas. Jika bahagian itu tidak menunjukkan sebarang metastasis atau tumor metastatik pada nod sentinel itu, pembedahan lanjut pada bawah ketiak tidak perlu lagi dilakukan,” dedahnya.

Namun, sekiranya hadir metastases pada nod itu, pembersihan ketiak (daripada nod limfa) peringkat I dan II akan dilakukan secara menyeluruh.

“Secara ringkas, SNB mengelakkan pembedahan radikal yang tidak diperlukan pada bahagian ketiak terutamanya pada nod yang tidak dijangkiti kanser.

“Selalunya, pembedahan yang tidak perlu’ boleh mengakibatkan komplikasi jangka masa panjang seperti limfadema, kekejangan dan sakit pada bahu,” kata Harjit.


KAMERA gamma yang digunakan untuk mengenalpasti nod sentinel.


Nod sentinel itu kemudiannya akan menjalani histopatologi penuh melalui pemeriksaan teknik kaji hayat terperinci untuk pengesahan.

Keputusan palsu negatif dan positif dalam SNB ialah kurang daripada lima peratus, memungkinkan jawapan yang tepat untuk setiap pemeriksaan dan penilaian sebelum satu-satu pembedahan dilakukan.

SNB juga dapat disudahkan dalam sehari, sekali gus mengurangkan kos penahanan di wad.

Secara kosmetik, ia tidak meninggalkan kesan yang terlalu besar dan pesakit akan cepat sembuh. Secara tidak langsung, kemungkinan komplikasi jangka panjang boleh dikurangkan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin