penyakit pundi hempedu




PUNDI hempedu merupakan organ badan yang terdiri daripada karung kecil berbentuk buah pear yang terletak di bawah bahagian kanan hati. Jus hempedu yang dirembeskan oleh hati disimpan sehingga diperlukan oleh tubuh bagi penghadaman lemak.




Meskipun bahagian ini jarang diberi perhatian, namun kegagalan pundi hempedu berfungsi sebaiknya akan menyebabkan kemudaratan yang cukup berbahaya.

Menurut Pakar Pembedahan Hepatobiliari Klinikal Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr. Hairol Othman, kesakitan yang dialami bukan sahaja melibatkan bahagian abdomen malah terasa sehingga ke tulang belikat.


INILAH fizikal batu hempedu yang dikeluarkan dari pundi hempedu yang gagal berfungsi dengan baik.


Gejala yang sering dihadapi adalah radang pada pundi hempedu berkenaan. Ini berlaku apabila batu terbentuk di dalam pundi hempedu pesakit. Keadaan menjadi kritikal sekiranya batu tersebut tersekat dan menghalang jus hempedu daripada dirembes keluar.

Beliau menjelaskan, terdapat dua faktor utama terjadinya batu dalam pundi hempedu iaitu kolesterol dan kalsium bilirubinate yang tinggi dalam badan.




“Batu hempedu terbentuk apabila kolesterol dan garam hempedu menjadi tepu. Ia akan membentuk kristal dan lama-kelamaan akan membesar lalu menjadi batu,” ujarnya.

Kesakitan yang dialami oleh pesakit biasanya disebabkan batu tersebut bergesel pada dinding pundi hempedu. Seringkali terjadi apabila seseorang itu mengambil makanan berlemak, pundi hempedu akan mengecut untuk merembeskan jus hempedu ke dalam usus untuk ‘meleburkan’ lemak tersebut.


BATU hempedu ditarik keluar dengan menggunakan endoskopi.


Jika batu hempedu tersekat di pangkal pundi hempedu, ini membolehkan berlakunya radang pundi hempedu. Lebih parah jika serpihan batu hempedu tersumbat pada saluran hempedu yang menyambungkan pundi tersebut pada usus. Ia seterusnya akan menyebabkan jaundis.

“Kerana itu, ramai antara pesakit yang mengalami penyakit kuning (jaundis) jika lambat menerima rawatan,” katanya.

Tambah Hairol, batu hempedu terdiri daripada tiga jenis iaitu batu hempedu kolesterol, pigmen dan campuran kedua-duanya yang dapat diketahui melalui warna.

“Batu kolesterol biasanya berlaku di kalangan masyarakat Barat, lembut serta berwarna kuning seolah-olah tanah liat,”

“Batu pigmen pula terdapat pada mereka yang menghidap penyakit berkaitan darah seperti anaemia hemolitik dan berwarna hitam serta agak keras,” jelasnya.

Bagi batu bercampur pula, kriterianya mirip kedua-dua batu tadi. Jenis ini selalunya terdapat di kalangan masyarakat Asia yang disebabkan oleh jangkitan atau pemakanan yang mengandungi kolesterol dan kalsium tinggi.

Justeru, tidak kira besar atau kecil saiz batu hempedu, ia perlu dibuang dengan teliti bagi mengelakkannya tersumbat atau beralih dan terlekat pada salur hempedu.

Rawatan

Proses bagi membuang pundi hempedu beserta batu-batu hempedu di dalamnya boleh dilakukan menerusi kaedah kolesistektomi laparoskopik .

“Di PPUKM, kami menggunakan kolesistektomi laparoskopik iaitu dengan memasukkan kamera melalui luka di bahagian pusat dan tiga lagi luka kecil di bahagian atas abdomen untuk mengeluarkan pundi hempedu berkenaan,” jelas Hairol.

Tambahnya, kaedah pembedahan lubang kekunci tersebut memiliki beberapa kelebihan iaitu ia lebih selamat, kurang meninggalkan kesan parut dan tempoh pemulihan yang lebih pantas.

Pencegahan

Corak dan gaya hidup adalah faktor utama dalam mencegah masalah pembentukan batu hempedu.

“Ia melibatkan cara hidup kita, terutama melibatkan aspek pemakanan. Hanya itu caranya untuk mencegah kewujudan batu hempedu tepu kolesterol dalam pundi,” tegas Hairol.

Menurutnya lagi, makanan yang mengandungi kolesterol seperti makanan segera, berminyak dan berlemak adalah penyumbang utama dalam masalah pundi hempedu ini

Disebabkan faktor tersebut, mengikut statistik, 15 hingga 20 peratus daripada populasi masyarakat akan mendapat masalah batu hempedu terutama di negara Barat.

Dalam pada itu, jus hempedu dihasilkan oleh hati dan jus hempedu yang dikeluarkan setiap hari boleh menampung keperluan badan.

Walaupun hempedu dibuang, Hairol menjelaskan tiada kesan sampingan pada sistem tubuh manusia biarpun dengan ketiadaan organ tersebut.

simptom lenguh

Jangan abaikan simptom lenguh


MENGANGKAT beban berat jarang dapat dilakukan penghidap sindrom bahu beku.


SELAIN bahu beku, sindrom bahu lenguh merupakan keadaan yang sering dialami oleh semua orang terutama individu yang bekerja di pejabat atau kilang.

"Ramai menganggap bahu lenguh seperti perkara biasa namun apabila ia dibiarkan tanpa sebarang terapi dan rawatan, ia mampu memberi kesan sakit yang membebankan," kata Siti Farah Aini Jamaludin.

Sindrom yang membabitkan tengkuk dan bahu ini mampu merebak ke dada bagi lelaki manakala golongan perempuan akan terasa ngilu di bahagian atas payu dara.

"Berdiri atau menghadap komputer dengan postur yang salah selama beberapa jam akan memberi tekanan kepada otot.

"Sebab itu, berehat selama lima minit pada setiap setengah jam mampu memberikan rehat kepada otot dan sendi.

"Walaupun begitu ramai orang tidak mengetahuinya. Selalunya, pesakit akan memberitahu doktor yang dia sakit tulang belikat atau sakit urat sedangkan ia sebenarnya merujuk pada sindrom bahu lenguh," katanya.

Menurut Siti Farah, lenguh bahu dan tengkuk akan berulang walaupun pesakit menjalani terapi atau pembedahan.

"Dengan lapan hingga 10 sesi rawatan terapi, lenguh tengkuk dan bahu boleh dipulihkan dengan syarat pesakit rajin bersenam dan mengelak daripada menggunakan bahagian tubuh pada postur yang salah," katanya.

Sindrom ini lebih berisiko pada perempuan kerana kebanyakan wanita tidak duduk dengan posisi yang betul.

Selain wanita, golongan yang berisiko diserang sindrom tengkuk dan bahu lenguh adalah mereka yang banyak menggunakan pergerakan tangan seperti atlet dan mereka yang suka tidur mengiring.

Pengawal kanser payu dara

Dengan mengenal pasti Nod Sentinel, pesakit dapat mengelak daripada kehilangan dua pertiga nod limfa di bawah ketiak akibat kanser payu dara.


NOD Sentinel yang disuntik radioisotop ini menunjukkan kedudukan dan saiznya.


MARIA, 36, cantik rupa parasnya. Namun, lengannya sedikit cacat. Dia mengalami pembengkakan teruk selepas menjalani pembedahan bawah ketiak untuk mengeluarkan dua per tiga daripada nodus limfa di bahagian itu bagi merawat kanser payu dara yang dialaminya.

Nampaknya penderitaan Maria belum berakhir, biarpun sudah menemukan jawapan sementara untuk penyakit kanser yang dihidapinya.

“Alternatif kepada kaedah tradisional itu ialah Biopsi Nod Sentinel (SNB), iaitu penjagaan standard dalam pengurusan kanser payu dara yang kini diamalkan di seluruh dunia.

“Melalui kaedah itu, komplikasi seperti itu hampir tidak kelihatan,” ujar Konsultan Pakar Bedah Payu Dara dan Endokrin di Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Harjit Kaur.

Sentinel bermaksud ‘pengawal’ kepada ketiak (axilla). Ia digambarkan sebagai nod limfa pertama yang diserang kanser sekiranya pesakit menghidap kanser payu dara. Oleh itu, dengan mengenal pasti nod limfa itu, pakar perubatan dapat menentukan sama ada kanser sudah merebak kepada nod limfa yang selebihnya.

“SNB ialah teknik invasif yang melibatkan pembedahan kecil yang digerakkan oleh sekumpulan pakar terlatih yang terdiri daripada pakar bedah payu dara, pakar radiologi payu dara, pakar perubatan nuklear dan pakar patologi.

“Teknik ini paling sesuai bagi pesakit yang menghidap kanser payu dara di peringkat awal dengan tumor bersaiz kurang daripada tiga sentimeter,” kata Harjit.


HARJIT KAUR


Walaupun sudah 10 tahun bertapak dalam dunia perubatan, hanya Pusat Perubatan Prince Court di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, yang menawarkan prosedur itu sepenuhnya di Malaysia.

Dimulakan dengan suntikan radioisotop di keliling payu dara, selepas satu tempoh, imbasan sinar-X limfosintigram pada payu dara dan ketiak dilakukan.

Dengan menggunakan bantuan alat pengimbas gammaprobe tangan, nod sentinel dikenal pasti dan ditandakan. Selepas itu pesakit akan dibedah.

“Pembedahan tersebut melibatkan pemotongan pada kulit antara satu hingga dua sentimeter. Dengan bantuan pewarna biru, nod yang berwarna biru dan ‘panas’ dapat dikesan dengan lebih mudah.

“Nod limfa yang dikeluarkan itu kemudiannya akan dihantar untuk melalui teknik kaji hayat khas. Jika bahagian itu tidak menunjukkan sebarang metastasis atau tumor metastatik pada nod sentinel itu, pembedahan lanjut pada bawah ketiak tidak perlu lagi dilakukan,” dedahnya.

Namun, sekiranya hadir metastases pada nod itu, pembersihan ketiak (daripada nod limfa) peringkat I dan II akan dilakukan secara menyeluruh.

“Secara ringkas, SNB mengelakkan pembedahan radikal yang tidak diperlukan pada bahagian ketiak terutamanya pada nod yang tidak dijangkiti kanser.

“Selalunya, pembedahan yang tidak perlu’ boleh mengakibatkan komplikasi jangka masa panjang seperti limfadema, kekejangan dan sakit pada bahu,” kata Harjit.


KAMERA gamma yang digunakan untuk mengenalpasti nod sentinel.


Nod sentinel itu kemudiannya akan menjalani histopatologi penuh melalui pemeriksaan teknik kaji hayat terperinci untuk pengesahan.

Keputusan palsu negatif dan positif dalam SNB ialah kurang daripada lima peratus, memungkinkan jawapan yang tepat untuk setiap pemeriksaan dan penilaian sebelum satu-satu pembedahan dilakukan.

SNB juga dapat disudahkan dalam sehari, sekali gus mengurangkan kos penahanan di wad.

Secara kosmetik, ia tidak meninggalkan kesan yang terlalu besar dan pesakit akan cepat sembuh. Secara tidak langsung, kemungkinan komplikasi jangka panjang boleh dikurangkan.

penyakit Vertigo

Vertigo penyakit ketidakseimbangan dalam telinga.


PENING seringkali dirasai sewaktu bangun pagi.


RUANG yang dilihat di sekelilingnya seakan-akan sedang berputar. Pandangannya yang berpusing-pusing itu seperti orang yang baru kali pertama menaiki roller coaster. Disertai pula rasa loya dan muntah, si penderita keadaan ini adakalanya takut untuk bergerak.

Diagnosis Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Kuljit Singh mendapati semua itu adalah simptom kepada penyakit pening yang berpunca daripada ketidakseimbangan dalam telinga atau dikenali juga sebagai vertigo.

Jelas Kuljit, terdapat beberapa simptom yang menjadi petunjuk kepada penyakit ini seperti pergerakan ritma mata yang abnormal (nistagmus), pening serta loya dan muntah.

Dalam kes-kes lazim, seseorang pada mulanya hanya menganggap ia sekadar pening biasa, namun tidak dapat menggambarkan keadaan sensasi tidak stabil, rasa melayang serta penglihatan yang berpinar-pinar.

“Bagi penghidap vertigo Benign Paroxysmal Positional (BPPV), serangan seringkali berlaku ketika bangun tidur pada waktu pagi dan disertai kombinasi simptom lain.

“Tempoh serangan mungkin hanya sekitar satu minit namun sensasi serangan tersebut mungkin berakhir setelah beberapa minggu,” jelasnya tentang episod pening melampau namun singkat itu.

Dalam pada itu, vertigo postur phobic pula boleh terjadi apabila wujud faktor stimulasi berdiri seperti menaiki tangga, berdiri atau melakukan apa saja pergerakan terutama melibatkan kepala.

Sekiranya vertigo muncul dari pusat keseimbangan otak, ia lebih rumit kerana berkait dengan kerosakan neurologi. Ini menjelaskan berlakunya pertuturan yang tidak jelas, penglihatan berganda dan ketidakseimbangan tubuh.

Kuljit turut memberitahu bahawa serangan vertigo terdapat dalam beberapa jenis mengikut situasi dan penyakit yang berkaitan dengan pesakit.

“Misalnya vertigo periferal disebabkan oleh trauma pada kepala akibat kecederaan, manakala bagi kes penyakit Meniere, vertigo tercetus akibat berlaku keadaan abnormal pada telinga dalam.

“Ia bukan saja menyebabkan keadaan kepala seolah-olah merasa kesan berpusing, malah telinga berdesing (tinitus),” terang Kuljit.


KETIDAKSEIMBANGAN tekanan dalam telinga menyebabkan vertigo.


Di samping itu, fistula perilimfa merupakan abnormaliti yang terjadi di antara ruang dalam telinga yang mengandungi cecair iaitu meliputi koklea dan telinga tengah yang terdiri daripada gegendang telinga dan tulang-tulang osikel iaitu tukul, rakap dan andas.

Terang Kuljit, serangan vertigo jenis ini tidak kronik dan boleh sembuh dengan sendiri walaupun dalam kes tertentu memerlukan pembedahan untuk pulih semula.

“Satu lagi jenis vertigo disebut sebagai idiopatik. Penyebab bagi jenis ini ini tidak menemui penjelasan sebenar kerana ia merupakan kombinasi beberapa jenis vertigo. Namun, pencetus utamanya adalah pergerakan,” katanya.

Kebanyakan pesakit adalah daripada golongan pertengahan umur dan ia mungkin berpunca daripada vestibul yang menjadi lebih sensitif.

Rawatan

Rawatan yang perlu dijalani bergantung kepada jenis vertigo yang dialami oleh pesakit. Namun, diagnosis terhadap keadaan telinga dalam pesakit akan menentukan pencetus utama penyakit ini.

Menurut Kuljit, terdapat beberapa cara untuk mengubati penyakit ini termasuk menggunakan ubat-ubatan seperti betasere, stemetil dan stugeron.


KULJIT... pesakit akan pening.


Beberapa siri pergerakan yang dikenali sebagai Prosedur Menempatkan Semula Canalith bagi melegakan BPPV merupakan rawatan utama bagi vertigo.

Mudah dan tidak mengambil masa yang lama, prosedur berkenaan terdiri daripada beberapa pergerakan ringkas untuk meletakkan kepala dalam kedudukan yang betul.

“Paling utama, partikel-partikel daripada kanal separa bulat berisi cecair (labirin vestibular) digerakkan untuk memasuki struktur seperti beg halus (utrikel), di mana partikel-partikel ini tidak lagi mengganggu selama sekitar 30 saat,” ungkap Kuljit.

Usai prosedur, pesakit perlulah mengelak daripada baring terlentang selama 24 ke 48 jam. Malah pesakit juga digalakkan untuk meninggikan bahagian kepala di atas bantal semasa tidur.

“Ini memberikan masa kepada partikel-partikel tadi untuk terapung-apung di dalam labirin sebelum mendap di dalam utrikel ataupun diserap semula oleh cecair-cecair tubuh,” katanya.

penyakit Parkinson

Penyakit saraf tiada penawar ini bukan saja masalah warga tua, turut dialami mereka berusia awal 30-an

ANTARA penyakit yang paling dikenali di Malaysia ialah Parkinson - sejenis penyakit saraf. Sebanyak 15,000 ke 20,000 pesakit sudah disahkan menghidap Parkinson di negara ini.

Peningkatan jumlah warga emas dikatakan antara faktor peningkatan jumlah pesakit Parkinson biarpun hakikatnya, ia boleh dihidapi golongan muda, khususnya yang berusia di bawah 40 tahun, termasuk 30 tahun.


Pada peringkat global, di United Kingdom misalnya, seorang daripada setiap 500 orang atau 120,000 individu menderita Parkinson, manakala 10,000 orang didiagnos setiap tahun dengan Parkinson. Di Amerika Syarikat pula, 60,000 kes baru dikesan setiap tahun menambah jumlah sedia ada kepada 1.5 juta orang. Jika dicampurkan dengan jumlah pesakit lain di merata pelosok dunia, mereka yang didiagnos dengan Parkinson ialah 6.3 juta orang.


Pakar Runding Neurologi, Dr Chew Nee Kong, berkata memahami secara perubatan, Parkinson ialah gangguan neurodegeneratif (kemerosotan saraf) yang berlaku secara berperingkat.

Ia menyebabkan pesakit mengalami gejala gangguan motor seperti terketar-ketar, pergerakan luar kawalan, kekakuan dan kelemahan otot yang lama-kelamaan bertambah teruk.

“Ramai orang mengandaikan bahawa otot yang kaku atau kekurangan daya pergerakan sebahagian daripada proses meniti hari tua, pada hal semua ini simptom Parkinson,” katanya.


Walaupun tiada ujian khusus yang dapat mengesahkan penyakit ini, doktor ialah orang yang paling layak untuk menilai keadaan individu dan mengesahkan penyakit berasaskan gejala yang diketahui, agar rawatan boleh dimulakan.

“Lebih awal diagnosis dibuat, lebih cepat rawatan boleh dimulakan dan pesakit akan lebih berdikari, yakin dan mudah bergerak,” jelasnya.

Rawatan awal sangat penting kerana Parkinson sehingga kini tiada penawar. Rawatan semasa yang diberi hanya bertujuan untuk mengawal gejala agar pesakit boleh meneruskan hidup sebaik mungkin.

Dr Chew berkata, walaupun Parkinson kerap kali dikaitkan dengan golongan berusia, sebenarnya generasi muda pada usia 30 tahun juga boleh terjejas dengan Parkinson. Malah, penyelidik mendapati antara lima hingga 10 peratus pesakit didiagnos dengan Parkinson pada usia bawah 40 tahun. Antara pesakit yang menghidap Parkinson pada usia muda ialah pelakon popular, Michael J Fox.

Beliau berkata, secara umumnya, pesakit Parkinson dikenali melalui pergerakan tidak terkawal dan terketar-ketar namun Parkinson tidak hanya dikenali melalui simptom membabitkan motor.

Ada juga yang mengalami simptom lain, misalnya tulisan tangannya menjadi bertambah kecil daripada biasa, keabnormalan kognitif, sukar menelan, sukar bercakap atau jika bercakap pun dalam satu nada.

Parkinson tidak membawa kematian. Namun, pesakit perlu menjaga kesihatan mereka sebaiknya. Bagi sebahagian kecil pesakit, mereka turut mengalami gangguan pernafasan dan mungkin menyebabkan masalah pneumonia,” katanya.

Gejala membabitkan motor

  • Terketar-ketar - selalunya bermula pada sebelah tangan. Ia simptom yang pertama dialami 70 peratus pesakit Parkinson.
  • Pergerakan yang perlahan (bradykinesia) - mereka sukar memulakan pergerakan
  • Kaku atau otot yang kaku - misalnya sukar bangun selepas duduk di kerusi.


Gejala lain:
  • Lemah pada otot muka dan tekak
  • Sukar berjalan
  • Sukar mengimbang
  • Kejang otot dan sendi
  • Masalah pencernaan dan membuang air kecil
  • Kaku
  • Masalah dengan fungsi tubuh misalnya lebih banyak berpeluh dan tekanan darah rendah.


Rawatan

Walaupun Parkinson tiada penawar setakat ini, dunia perubatan menawarkan pelbagai jenis ubat dan kaedah bukan perubatan bagi menangani simptom.

Antaranya, ada beberapa jenis ubat yang boleh digunakan dalam pengurusan Parkinson. Sebahagiannya digunakan secara gabungan beberapa jenis ubat kerana tidak semua pesakit mengalami simptom sama.

Antaranya terapi gantian dopamin - yang bertindak menghasilkan bahan kimia dalam otak - dopamin. Ia terapi yang digunakan bagi mengawal simptom Parkinson membabitkan motor. Jumlah dos yang perlu diambil akan meningkat dari semasa ke semasa kerana sifat progresif Parkinson.

Selain itu, pesakit juga mungkin mengambil ubat-ubatan lain misalnya Dopamine Agonists (ia bertindak hampir sama dengan terapi gantian dopamin) dan COMT-inhibitors (terapi yang digunakan bersama terapi gantian dopamin bagi meningkatkan tahap dopamin).

Kadang kala pembedahan menjadi pilihan bagi menangani fungsi abnormal neuron dalam otak pesakit.

Selain itu, penjaga boleh membantu pesakit melegakan simptom dengan mengajar pesakit bersenam, melakukan terapi pertuturan, fisioterapi dan kaunseling.

Glukoma dan katarak (buta awal)




Glukoma, katarak dialami pada usia muda akibat pendedahan komputer, memandu malam

SEBAHAGIAN besar masalah mata tidak menunjukkan sebarang simptom. Bertambah sukar, pemeriksaan mata selalunya tidak dimasukkan dalam senarai pemeriksaan kesihatan kebanyakan orang. Justeru, tidak hairanlah masalah mata hanya disedari apabila ia sudah semakin serius.

Glukoma yang menjadi antara penyebab mata buta, adalah masalah yang berkaitan dengan saraf optik mata. Bagaimanapun, oleh kerana ia tidak menunjukkan sebarang simptom, kebanyakan pesakit tidak mengetahui mereka berdepan dengan glukoma dan masalah ini hanya boleh dikesan menerusi pemeriksaan kesihatan.


Pakar Perubatan Mata Pusat Mata Vista di Kuala Lumpur, Dr Aloysius Joseph Low, berkata pemeriksaan kesihatan mata sering kali tertinggal dalam senarai pemeriksaan kesihatan.


"Kebanyakan orang melakukan pemeriksaan mata sebagai memenuhi rutin di sekolah atau ketika perlu menggunakan kaca mata. Bagaimanapun, jika anda datang daripada keluarga yang berdepan masalah glukoma, diabetes atau tekanan darah tinggi, pemeriksaan mata sebenarnya perlu dimasukkan dalam jadual," katanya.

Dr Low berkata, katarak adalah sebahagian masalah kesihatan mata yang akan dihadapi semua. Jika generasi terdahulu berdepan masalah katarak pada usia 70 tahun ke atas, generasi hari ini mungkin mengalaminya pada usia jauh lebih muda. Ini disebabkan pendedahan pada komputer dan kekerapan memandu pada waktu malam.



Selain itu, ada sesetengah masalah mata yang bersifat genetik, seperti glukoma. Bagaimanapun, seseorang itu sukar mengetahui risikonya terhadap glukoma jika tiada ahli keluarga lain yang pernah melakukan pemeriksaan kesihatan berkaitan glukoma.

Kata Dr Low, ada kalanya menerusi pemeriksaan mata, masalah kesihatan yang lebih serius dikesan seperti tumor otak dan masalah mata yang berkaitan dengan tekanan darah tinggi (hypertension retinopathy).

"Ada kalanya, penglihatan yang kabur bukan sekadar simptom mata yang rosak tetapi lebih teruk daripada itu. Ia mungkin disebabkan penyakit yang lebih serius seperti tumor otak atau masalah tekanan darah tinggi yang tidak dikawal dengan baik," katanya.

Dr Low berkata, selain masalah jantung dan ginjal, tekanan darah tinggi yang tidak dikawal juga boleh menjejaskan penglihatan.

"Tekanan darah tinggi boleh menyebabkan kerosakan salur darah dalam retina, kawasan di sekitar belakang mata iaitu kawasan fokus imej. Gangguan penglihatan yang lebih teruk boleh berlaku jika tekanan darah tinggi tidak dikawal," katanya.

Bagaimanapun, ada juga keadaan yang sukar ditangani misalnya penglihatan yang terjejas akibat tumor atau ketumbuhan dalam otak.

"Kanta mata yang bengkak biasanya berpunca daripada salur darah. Apabila seseorang diserang barah otak, ia menambah tekanan pada salur darah. Selalunya juga, ia disertai dengan simptom muntah pada awal, muntah yang berbentuk terarah (projektor) dan bukan muntah biasa," katanya.

Dr Low berkata, berbanding 10 tahun dulu, tidak ramai doktor yang membuat pengkhususan dalam kesihatan mata. Justeru, pemeriksaan mata yang terperinci sukar dilakukan. Bagaimanapun, keadaan semakin berubah apabila semakin ramai doktor membuat pengkhususan.

Selain melakukan rutin kesihatan seperti tekanan darah, pemeriksaan kesihatan mata juga sepatutnya diberikan perhatian.

INFO: Pemeriksaan utama mata


  • Penglihatan - membantu menentukan beberapa faktor sama ada anda memerlukan kaca mata untuk membaiki penglihatan sama ada masalah untuk membaca atau sesuai untuk pembetulan laser.

  • Pemeriksaan kornea, iris dan anak mata - ruang dalam mata yang menentukan sama ada bahagian itu sihat.

  • Pemeriksaan tekanan pada mata untuk mengesan glukoma. Ia berlaku apabila tekanan dalam mata menjadi terlalu tinggi dan merosakkan saraf optik dan akhirnya membawa kepada hilang penglihatan. Ia boleh dicegah melalui rawatan awal. Apatah lagi, glukoma sebenarnya dipengaruhi faktor genetik.

  • Pemeriksaan kanta katarak. Masalah katarak pasti dihadapi semua. Apa yang membezakannya ialah cepat atau lambat berlaku katarak yang turut menjadi antara punca buta di seluruh dunia. Pengesanan awal dengan teknik pembedahan moden dan lensa multifocal, boleh membantu mengembalikan penglihatan.

  • Pemeriksaan retina untuk penyakit seperti diabetic retinopathy (kebutaan yang disebabkan diabetes atau kencing manis), penuaan makular dan masalah retina seperti glukoma. Masalah mata jenis ini sebenarnya boleh dirawat jika didiagnosis lebih awal.

  • Pemeriksaan saraf optik - masalah seperti radang (optic neuritis), tumor dan bengkak boleh menyebabkan simptom seperti penglihatan kabur, hilang pandangan warna, apungan (floaters), sakit kepala, sakit mata atau tidak selesa.
  • Sindrom bahu beku (frozen shoulder)

    Sindrom bahu beku juga terjadi apabila seseorang jarang menggunakan bahunya yang sakit.


    PESAKIT akan berasa lenguh pada bahu, pangkal tengkuk, kebas lengan dan tangan serta tidak kuat untuk memegang barang.


    SELEPAS berhenti daripada bermain ragbi beberapa tahun lalu, Rizal terpaksa menggunakan tangan kirinya sahaja bagi mengangkat barang mahupun telefon. Rizal pasti mengaduh kesakitan jika menggunakan tangan kanan.

    Keadaan lebih sukar buat lelaki berusia awal 30-an ini apabila dia tidak mampu mengangkat tangan kanannya untuk mengenakan butang baju apatah mencapai barang di tempat yang tinggi.

    “Akibat sakit bahu ini, pergerakan tangan kanan saya sangat terbatas. Ia tidak boleh digerakkan ke semua arah sama ada ke depan, belakang, sisi apatah lagi gerakan berputar.

    “Ia turut terasa berdenyut dan kebas termasuk ketika tidur,” kata Rizal.


    SELAIN bertemu doktor dan pakar fisioterapi, pesakit boleh melakukan sendiri terapi fizikal seperti regangan.








    Menurut Perunding Fisioterapi di Pusat Perubatan Pakar Alpha, Kota Damansara, Kuala Lumpur, Siti Farah Aini Jamaludin, keadaan yang dialami Rizal itu dikenali sebagai bahu beku atau frozen shoulder.

    Pesakit yang mengalami kesakitan ini akan berasa lenguh pada bahagian bahu, pangkal tengkuk, kebas lengan dan tangan serta tidak kuat untuk memegang barang.

    Bahu beku terjadi apabila kapsul sendi bahu menjadi tebal disebabkan oleh proses inflamasi di dalam sendi bahu glenohumeral.

    “Ini menyebabkan sendi bahu yang disokong sendi glenohumeral tidak dapat digerakkan sepenuhnya ke semua arah,” ujarnya.

    Tambah Siti Farah, masalah bahu beku selalunya berlaku di sebelah bahu sahaja pada satu-satu masa.

    Namun, faktor masa dan kecederaan lain mungkin menyebabkan sesetengah pesakit menderita sakit di kedua-dua belah bahu.

    Radang dalam sendi menyebabkan kapsul sendi yang longgar menjadi ketat kerana terlekat antara satu sama lain.

    Ruang sendi bahu semakin mengecil, kapsul melekat dan ligamen mengetat pada kedudukan rehat.

    Keadaan ini mengehadkan keupayaan bahu untuk bergerak dan menyebabkan bahu membeku.

    Sindrom bahu beku juga berpotensi terjadi apabila seseorang tidak menggunakan bahunya yang sakit atau menggunakannya sekali-sekala sahaja.

    “Apabila digerakkan, pesakit akan berasa sakit. Jadi, mereka lebih selesa menggunakan tangan yang sebelah lagi. Oleh kerana lama tidak digunakan, ia boleh menyebabkan keradangan.

    “Sekiranya seseorang mendapat kecederaan seperti patah tangan atau menjalani pembedahan tetapi tidak menggerakkan tangan seperti yang diarahkan doktor, keadaan bahu beku juga boleh terjadi,” kata Siti Farah.

    Menurut kajian pakar ortopedik, pesakit kencing manis mempunyai risiko sehingga empat kali ganda mengalami sindrom bahu beku berbanding individu biasa. Malah ia juga lebih sukar untuk sembuh.

    Di Malaysia, kira-kira 15 hingga 20 peratus daripada penduduknya menderita masalah bahu beku.

    “Faktor lain bahu beku termasuklah usia iaitu berumur 40 tahun ke atas, penyakit sistematik seperti tiroid, kardiovaskular dan Parkinson.

    “Walaupun begitu, penyakit bahu beku boleh pulih sendiri selepas mengalami kesakitan dalam jangka masa panjang.

    “Untuk rawatan yang lebih berkesan, pesakit boleh mendapatkan terapi fizikal seperti regangan dan senaman tetapi dengan syarat ia dilakukan pada peringkat awal lagi,” ujar Siti Farah.

    Kaki bentuk kasut (Hallux valgus)

    Apabila kerap memakai kasut tumit tinggi yang bermuncung tirus, jari-jari kaki akan merapat dan membentuk bonjolan.




    DENGAN usia menginjak awal 50-an, keadaan jari kaki Salmah tidak seperti dahulu lagi. Bukan disebabkan oleh tubuhnya yang semakin berisi, sebaliknya perubahan bentuk fizikal pada jari kakinya.

    Ibu jari kaki kanannya yang sebelum ini lurus kini mula merapat ke kanan sehingga menindih jari kedua. Ruang antara jari-jari kecil kaki pula semakin menyempit.

    Di bahagian luar ibu jari kakinya pula, satu bonjolan keras seakan tulang terbentuk. Pada mulanya Salmah menganggap perubahan ini berlaku disebabkan faktor usia, namun bonjolan itu sering luka dan berterusan membengkak.

    Sebenarnya, apa yang dialami Salmah bukan satu anomali perubatan malah ia kerap berlaku pada kebanyakan wanita lain.

    Menurut Pakar Bedah Kaki dan Pergelangan Kaki, Dr. Khairul Faizi Mohammad, apa yang dihadapi Salmah adalah sejenis kecacatan yang dikenali sebagai Hallux valgus.

    "Keadaan ini biasanya dikaitkan dengan tekanan terhadap bahagian sisi ibu jari kaki yang dipanggil bunion. Ia berisiko menjadi lebih serius bila bahagian sisi jari kaki bergeser dengan kasut.

    "Apabila kerap memakai kasut tumit tinggi yang bermuncung tirus, jari-jari kaki akan merapat. Ditambah dengan bebanan yang perlu ditampung pada bahagian hadapan kaki apabila berdiri lama, tulang di bahagian itu berisiko untuk dibentuk mengikut acuan kasut.

    "Lama-kelamaan ibu jari kaki akan merapat ke arah jari kecil dan berputar. Bunion pula akan bertambah besar dan mengeras.

    "Seperti yang dialami Salmah, jari kecil akan saling merapat sehingga tiada ruang antara jari. Keadaan ini bukan sahaja menyakitkan malah bagi sesetengah orang, mereka mudah terkena serangan kulat air kerana kaki mereka sentiasa basah," katanya.


    HALLUX VALGUS ialah satu kecacatan.






    DR. KHAIRUL FAIZI


    Selain pemakaian kasut tumit tinggi bermuncung tirus, faktor genetik dan memiliki tapak kaki yang rata juga membawa kepada kecacatan ini.

    "Kecacatan ini boleh juga terjadi semasa kanak-kanak kerana 72 peratus keadaan ini boleh diwarisi daripada ibu.

    "Tetapi kebanyakan kes bunion terjadi atas faktor pemakaian kasut bertumit tinggi dan sempit di hadapan," jelas Khairul.

    Maka tidak hairanlah 90 peratus penghidap kecacatan ini adalah golongan wanita. Mula membentuk simptom pada usia akhir 30-an, keadaan akan bertambah serius sekiranya tidak dirawat.

    Secara umum, kecacatan Hallux valgus terjadi dalam dua hingga empat peratus populasi sesebuah negara. Peratusan ini adalah sama untuk populasi yang memakai kasut dan berkaki ayam.

    Walau bagaimanapun, peratusan ini meningkat kepada 48 peratus bagi mereka yang memakai kasut bertumit tinggi dan bermuncung kecil.

    Bagaimana mengelak Hallux valgus?

    Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil pada peringkat awal untuk melambatkan proses kecacatan ini.

    "Elakkan daripada memakai kasut bertumit tinggi dan kasut yang bermuncung tirus. Bagi mereka yang berkaki leper atau tapak kaki rata, plantar orthosis yang melengkung perlu digunakan bagi memberi sokongan kepada kaki," ujar Khairul.

    Seeloknya, kasut yang bermuncung lebar yang menyamai saiz sebenar hujung kaki perlu menjadi pilihan setiap kali anda membeli kasut.

    Kasut yang diperbuat daripada kulit yang lembut pula memberi jaminan keselesaan kerana ia boleh dibesar dan dilebarkan berbanding kasut yang diperbuat daripada material lain.

    "Bagi mereka yang mempunyai masalah Hallux valgus, satu perkara yang perlu diingat, elakkan kasut yang mempunyai kelim atau jahitan yang bila dipakai akan terkena bahagian bunion.

    "Geseran ini bukan sahaja membengkakkan bonjolan malah melukakannya. Untuk mengurangkan bengkak, letakkan ais di kawasan tersebut," beritahu Khairul.

    Hanya ada satu cara untuk menghilangkan Hallux valgus iaitu pembedahan. Terdapat 110 jenis pembedahan yang boleh dilakukan untuk mengembalikan kaki pada keadaan normal.

    Namun, tidak ramai yang tampil untuk merawat kecacatan ini kerana pada anggapan mereka ia bukan sejenis penyakit kritikal dan mereka tidak akan mati kerananya.

    Alzheimer (nyanyuk)

    Pesakit Alzheimer masih dapat mengingati perkara yang berlaku 30 tahun lampau dengan baik namun gagal mengingati perkara mudah yang dilakukannya beberapa minit lalu.


    PERUBAHAN personaliti yang ketara merupakan simptom awal penyakit ini.


    APABILA memperkatakan mengenai Alzheimer atau nyanyuk, masyarakat seringkali mengaitkan penyakit ini dengan faktor umur.

    Malah punca yang sering dikaitkan dengan penyakit ini ialah otak pesakit mengecut dan wujudnya abnormal protein dalam otak yang dipanggil amiloid.

    Keadaan itu menyebabkan saraf-saraf dalam otak menjadi tidak normal dan keseluruhan saiz otak semakin mengecil yang akhirnya menyebabkan pesakit mengalami masalah lupa yang serius.

    Namun, dalam keadaan tertentu, penyakit yang lazimnya dihadapi oleh mereka yang berumur melebihi 60 tahun ke atas, juga boleh dialami golongan lebih muda.

    Pakar Runding Geriatrik Hospital Pakar Cheras, Dr. Rajbans Singh, berkata meskipun jarang berlaku, kebarangkalian ia dihidapi oleh mereka yang berumur dalam lingkungan 50-an, tetap ada.

    "Simptomnya masih samar namun kecenderungan untuk terlupa adalah sama. Walaupun begitu, antara keterlupaan golongan ini dan Alzheimer adalah jangka waktu memori yang diingati," ujarnya.


    PERBEZAAN keadaan otak pesakit Alzhaimer (kanan) yang mengecut berbanding otak normal.


    Jelas Rajbans, bagi pesakit Alzheimer, mereka masih dapat mengingati perkara lampau yang berlaku 20 hingga 30 tahun lalu dengan baik namun gagal mengingati satu perkara mudah yang dilakukannya beberapa minit lalu.

    Bermula dengan keterlupaan jangka pendek, penyakit ini akan berlanjutan hingga membuatkan pesakitnya kehilangan memori secara total.

    Tambahnya lagi, keadaan pesakit bertambah serius apabila mereka mula berhalusinasi dan pada tahap ini, potensi mencederakan diri mereka amat tinggi sekiranya tidak dirawat serta diawasi.

    "Bertepatan dengan nama lain bagi penyakit ini iaitu The Long Goodbye, penyakit ini lazimnya meliputi tempoh lebih 10 hingga 20 tahun. Jadi, tidak mustahil keadaan mereka akan bertambah buruk," jelasnya.

    Antara simptom tingkah laku atau psikologi pesakit Alzheimer termasuklah gemar menjerit, agresif dari segi fizikal, gangguan personaliti, banyak bertanya, kemurungan, kadangkala tidak mahu dibantu, salah sangka dan tidak tidur pada waktu malam.

    Rawatan

    Menyentuh mengenai jenis rawatan, jelas Rajbans, tiada satu kaedah khusus untuk menyembuhkannya namun apa yang boleh dilakukan ialah melengahkan simptom.

    Dalam beberapa kes tertentu, pemberian ubatan untuk meningkatkan kembali sel dan hormon dilakukan dalam bentuk tablet.

    "Masalah utama pengambilan ubatan dalam bentuk tablet ialah pesakit kerap terlupa untuk mengambilnya seperti yang diarahkan. Jadi, satu inovasi dilakukan iaitu pesakit dilekat satu tampalan seumpama plaster di lengan.

    "Dengan itu, pesakit tidak lagi mempunyai masalah dengan rutin mengambil ubat," jelasnya yang turut menjelaskan antara penyebab utama penyakit ini ialah virus, toksin, kekurangan hormon dan vitamin serta pelbagai lagi.




    Tambahnya, penyakit ini bukan sahaja melibatkan pesakit malah seluruh ahli keluarga terdekat yang terpaksa menjaga, merawat dan memantau pesakit.

    "Pengetahuan asas mengenai simptom, penjagaan harian serta keperluan pesakit amat penting bagi ahli keluarga. Secara tidak langsung, ia akan membantu ahli keluarga menangani salah faham antara mereka," nasihat Rajbans.

    Jangka hayat yang semakin bertambah di Malaysia memberi petunjuk bahawa masyarakat perlu memandang serius penyakit ini.

    Ujarnya, ia merupakan fenomena normal di mana-mana negara di dunia apabila taraf hidup semakin meningkat dan keperluan kendiri seperti perubatan mencapai tahap terbaik.

    "Sebagai contoh, Jepun. Apabila populasi warga emasnya meningkat mendadak pada 15 tahun lalu, satu pendekatan dilakukan oleh kerajaan mereka agar golongan ini aktif dari aspek minda dan fizikal," jelasnya.

    Kulat kulit kepala (kelemumur)

    Kelemumur boleh menyebabkan botak di kalangan lelaki.







    PASTINYA ramai yang sudah acapkali bertukar syampu malah ubat antikelemumur untuk menghilangkan masalah keruping putih yang melekat di kepala.

    Namun, tahukah anda ia mungkin bukan disebabkan produk tersebut tidak berkesan sebaliknya berpunca daripada cara penggunaan yang tidak betul.

    Menurut Pakar Runding Kulit di Pusat Perubatan Sime Darby, Dr. Koh Chuan Keng, kelemumur yang ditangani dengan syampu biasa dan berubat perlu dilakukan dengan teliti.

    "Syampu tersebut perlu dibiarkan selama 10 hingga 15 minit di atas kepala sebelum dibilas. Inilah kesilapan utama kebanyakan orang ketika mencuci rambut," jelas beliau.

    Chuan Keng memberitahu, tidak kira jenis atau jenama syampu yang digunakan, paling penting ialah membiarkan syampu itu menyerap ke dalam kulit kepala.

    Kelemumur terjadi akibat pembiakan kulat seakan yis yang sebelum ini dikenali sebagai malassezia.

    "Malassezia membiak di atas kulit kepala terutama orang dewasa. Namun, ada ketikanya pembiakan malassezia tidak terkawal dan ia menjadikan minyak yang dirembeskan oleh folikel rambut sebagai makanan.

    "Secara tidak langsung, proses ini mencetuskan iritasi yang seterusnya menyebabkan kadar pertukaran sel berlaku lebih pantas," ujarnya.

    Akibatnya, sejumlah sel kulit mati dihasilkan dalam amaun yang besar. Apabila sel-sel tersebut jatuh, ia cenderung bergumpal dengan minyak daripada kepala dan rambut. Ini menghasilkan kepingan berwarna putih yang ketara di rambut.

    Jelas Chuan Keng, syampu bukan hanya untuk mencuci dan mengharumkan rambut tetapi lebih penting, membersihkan kulit kepala daripada kulat.

    Kekerapan penggunaan syampu juga tidak boleh dijadikan petunjuk dalam mengawal kelemumur.

    "Cara paling baik ialah menggunakan syampu setiap hari pada mulanya sebelum dijarakkan sehingga tiga hari seminggu," katanya.

    Selain itu, bahan antikulat berupaya mengurangkan amaun pembiakan kulat pada kulit kepala.

    "Sebab itulah amat perlu untuk seseorang yang menghadapi masalah ini 'memerap' kepala seketika dengan bahan antikulat seperti zink pirition (ZPT) dan selenium sulfida," tegasnya.


    BUKAN saja kepala, kelemumur ekstrem turut menyerang bahagian lain seperti belakang telinga.


    Disebabkan kelemumur tidak dapat dihilangkan, penggunaan produk yang mengandungi agen antipembiakan dapat melambatkan penghasilan sel-sel kulit tanpa bertindak secara langsung terhadap kulat.

    Untuk itu, salah satu bahan ini yang sering terdapat di dalam ubat merawat kelemumur adalah tar arang bagi merawat simptom-simptom kelemumur .

    Mereka yang mengalami masalah kelemumur yang berpanjangan turut mengalami penipisan lapisan epidermis atas dengan hanya mempunyai 10 lapisan berbanding 25 hingga 35 pada kulit kepala yang sihat.

    Kata Chuan Keng, masalah kelemumur serius yang rata-rata dihadapi oleh kaum lelaki akan menyebabkan penghidapnya mengalami masalah botak atau keguguran rambut yang ekstrem.

    "Partikel kelemumur ini amat kecil iaitu sekitar satu hingga dua milimeter. Namun, apabila dibiarkan ia mampu mendatangkan masalah yang lebih besar," kata Chuan Keng.

    Tanpa rawatan segera, kelemumur tersebut mampu merebak pada bahagian muka, belakang telinga malah pada dada.

    "Bagi kes-kes ekstrem, rawatan bukan saja melibatkan penggunaan syampu. Pemberian pil malah cecair steroid turut dilakukan bagi 'mematikan' jangkitan kulat," katanya sambil menyebut, kelemumur ekstrem mampu menyerang sesiapa termasuk bayi berusia seawal sebulan hinggalah warga emas. - SHANIKA ABDULLATIB

    Mengubah tabiat pemakanan

    Bagaimanakah pemakanan yang sihat dapat mencegah daripada penyakit?


    SUMBER protein yang terbaik adalah sayur-sayuran yang berwarna-warni.


    KESIHATAN rakyat Malaysia pada masa kini semakin diancam dengan pelbagai penyakit. Generasi hari ini lebih mengutamakan makanan yang lazat tanpa mempedulikan kesannya pada kesihatan.

    "Anda ialah doktor kepada makanan," ujar ahli sains sosial merangkap Pegawai Penyelidik Kanan di Institut Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr. Lim Hin Fui pada sesi ceramahnya yang bertajuk Hidup Sihat Tanpa Ubat, baru-baru ini.

    Jelasnya, masih ramai rakyat Malaysia yang kurang memahami kesan-kesan pemakanan dan perubatan moden sehingga mereka yang berusia seawal 40 tahun hingga 50 tahun mula menghidap pelbagai penyakit kronik.

    "Sejak tahun 1996, keluarga saya telah mengubah tabiat pemakanan dengan mengambil makanan yang sihat dan telah mempraktikkannya dalam kehidupan seharian kami.

    "Amalan ini berterusan sehingga ke hari ini dan kami tidak pernah terfikir untuk kembali kepada tabiat pemakanan lama," ujarnya.

    Kesan daripada amalan tersebut, bapa mertuanya yang menghidap kanser prostat tidak perlu menjalani rawatan radioterapi atau kemoterapi.

    Berkongsi cara mengubah tabiat pemakanan jelas Dr. Hin Fui, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah dengan menukar beras putih kepada beras perang untuk hidangan makan tengah hari dan malam.

    "Apabila anda menukar beras, lakukan dengan perlahan-lahan supaya ia boleh diterima oleh ahli keluarga yang lain.

    "Misalnya, anda boleh bermula dengan mencampur 95 peratus beras putih dan lima peratus berang perang pada minggu pertama.


    CARA pertama mengubah tabiat pemakanan adalah dengan menukar beras putih kepada beras perang.


    "Pada minggu berikutnya, peratus beras putih hendaklah dikurangkan manakala peratusan beras perang perlu ditambah," katanya harga bukan punca utama seseorang gagal memilih sesuatu yang baik untuk kesihatan diri.

    Beras perang kaya dengan kanji, galian dan vitamin. Protein yang terkandung dalam beras perang membantu mengurangkan kadar kolesterol dalam darah dan mencegah penyakit kardiovaskular.

    Vitamin B1, B2 dan E yang ada di dalamnya juga dapat melambatkan proses penuaan. Malah beras ini juga dapat mewujudkan satu persekitaran yang baik untuk pertumbuhan bakteria baik, melancarkan sistem pencernaan dan meningkatkan daya sistem ketahanan tubuh.

    Selain itu, beras perang juga membantu menurunkan berat badan, mengawal kencing manis dan mengelakkan kanser perut.

    Langkah kedua jelas Dr. Hin Fui lagi, amalan menukar protein haiwan kepada protein tumbuh-tumbuhan.

    Ia berperanan mengekalkan tahap kesihatan, protein membantu membina sel, melindungi sistem badan dan menguatkan sistem ketahanan badan.

    Adakah protein daripada haiwan baik untuk kesihatan dalam jangka masa panjang?

    "Pada tahun 1996, keluarga saya telah membuat keputusan agar tidak mengambil makanan berasaskan daging kerana menganggap ia mempunyai kandungan asid yang tinggi.


    GENERASI hari ini lebih mengutamakan makanan yang lazat tanpa mempedulikan kesannya pada kesihatan.


    "Dari segi kandungan lemak pula, daging merupakan sumber protein yang mengandungi banyak asid lemak tepu dan kolesterol," katanya.

    Beliau percaya, pemakanan yang berasaskan daging juga merupakan penyebab utama penyakit jantung, strok, darah tinggi, kanser, hipoglesemia dan pelbagai penyakit kronik.

    Pada zaman ini makanan haiwan ternakan telah dicampur dengan pelbagai antibiotik dan ubat-ubatan untuk mencegah penyakit.

    Apakah jalan terbaik memperoleh protein untuk tubuh? "Mungkin anda tidak menyedari bahawa sumber protein yang terbaik adalah daripada sayur-sayuran berwarna-warni?

    "Sekiranya kita mengambil sayuran mentah setiap hari, badan kita akan menerima protein yang diperlukan oleh badan kerana protein tidak akan hilang semasa memasak.

    "Selain itu, makanan yang tinggi kandungan kolesterolnya juga harus dihindari. Ini kerana, makanan yang mengandungi banyak lemak, mendedahkan kita kepada penyakit hati berlemak," jelas beliau.

    Lemak berlebihan boleh menyebabkan hati berasid dan menjadi keras.

    Tidak dinafikan, agak sukar untuk mengambil makanan berasaskan sayur-sayuran untuk makan tengah hari dan malam.

    Langkah terbaik ialah pengambilan lebih banyak sayur-sayuran segar dan buah-buahan yang ditanam sendiri.

    "Umumnya pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan yang maksimum sememangnya baik untuk kesihatan. Bagaimanapun, terlalu banyak mengambil makanan ini juga boleh membawa kesan buruk.

    "Selain itu, kita harus berhati-hati dalam pengambilan sayur-sayuran dan buahan-buahan. Dari semasa ke semasa, ada petani yang menggunakan racun serangga yang terlalu banyak. Dalam jangka masa panjang, makanan jenis ini boleh membawa kepada penyakit hati, kerosakan saraf dan kanser," nasihat beliau

    panduan mencegah hamil

    Bagaimanakah Mirena menjadi medium paling efektif bagi mencegah kehamilan tanpa sebarang kesan sampingan?


    WANITA boleh hamil tanpa sebarang kesan sampingan selepas Mirena dikeluarkan.


    DETIK menunggu kelahiran adalah sesuatu yang mengujakan bagi pasangan suami isteri. Ini kerana, anak tersebut bakal menjadi pelengkap kepada hubungan hidup berumah tangga.

    Namun, selepas melahirkan anak pertama atau kedua, ada sesetengah pasangan ingin merancang keluarga.

    Malangnya, kegagalan kaedah mencegah kehamilan menyebabkan sesetengah pasangan mendapat anak dalam keadaan tidak bersedia.

    Ini akan mempengaruhi emosi isteri, sekali gus memberi kesan terhadap anak dalam kandungan.

    Ia juga boleh mendatangkan masalah kepada hubungan suami isteri dan dalam sesetengah kes, ia menjejaskan keharmonian rumah tangga.

    Justeru, kaedah pencegah kehamilan merupakan satu keperluan.

    Ini penting terutama bagi mereka yang baru bersalin atau mempunyai masalah kesihatan untuk hamil lagi dalam jarak masa yang dekat selepas kelahiran.




    Ketua Unit Perkembangan Kendiri & Profesionalisme (PPD) dan Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi (O&G) Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Madya Dr. Harlina Halizah Siraj memberitahu, pasangan suami isteri yang ingin merancang perlu berjumpa pakar sakit puan bagi membincangkan kaedah yang sesuai dan tidak mendatangkan kesan sampingan.

    "Antara teknologi terkini dalam mencegah kehamilan ialah Mirena iaitu menanam alat dalam rahim (IUS).

    "Mirena ialah alat mencegah kehamilan yang mudah dikeluarkan dari rahim, mudah dikawal, bertindak dalam tempoh yang lama, selamat dan berkesan," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui.

    Ujarnya, Mirena merupakan alat plastik berbentuk T yang kecil dan mudah dilentur. Ia dimasukkan ke dalam rahim untuk tempoh yang diingini. Tempoh maksimum adalah lima tahun.

    Menurutnya, sarung di sekeliling alat itu akan melepaskan sedikit dos hormon levonorgestrel pada kadar yang tetap.

    "Kegunaannya adalah untuk mengawal hormon wanita dan kitaran haid terutamanya bagi wanita yang berumur 40 tahun ke atas," katanya.

    Harlina memberitahu, kaedah pemandulan sementara itu membolehkan wanita hamil semula apabila alat tersebut dikeluarkan.

    "Wanita boleh hamil tanpa sebarang kesan sampingan dalam tempoh satu bulan pertama Mirena dikeluarkan," katanya.


    ALAT dalam rahim (IUS) iaitu Mirena berbentuk T dan mudah dilenturkan ke dalam rahim.


    Mirena bertindak sebagai alat untuk menghalang sperma menembusi ovari wanita. Mukus atau lendir pangkal rahim juga akan menjadi tebal sehingga sperma tidak dapat menembusi untuk mensenyawakan telur.

    Ia juga merencat pergerakan sperma dalam rahim.

    Mengulas lanjut, Harlina memberitahu, ramai wanita terutamanya mereka yang telah melahirkan anak akan mengalami haid yang abnormal sama ada pengeluaran yang terlalu banyak, berpanjangan atau sedikit.

    Katanya, haid yang banyak dan berlarutan itu akan menyebabkan wanita menghidap anemia atau kekurangan zat besi, sakit kejang otot dan sakit pinggang.


    WANITA yang melahirkan ramai anak berisiko mengalami tumpah darah ketika bersalin disebabkan rahim yang gagal mengecut.


    "Setiap bulan, endometrium akan menebal. Proses penebalan ini diatur dan dikawal oleh hormon. Endometrium yang menebal pada peringkat awal kitaran haid adalah sebagai persediaan untuk menerima telur yang tersenyawa.

    "Jika persenyawaan tidak berlaku, mukrosa rahim diluruhkan apabila kitaran berakhir dan dikumuh sebagai darah haid.

    "Hanya lapisan endometrium yang nipis akan diluruhkan. Itu sebabnya, darah yang keluar pada penghujung kitaran haid semakin berkurangan," katanya.

    Sementara itu, Profesor Ginekologi dan Endoktrinologi, Universiti Copenhagen, Denmark, Sven O. Skouby, memberitahu, pasangan suami isteri kini mempunyai pelbagai kaedah merancang kehamilan dengan tambahan kebaikan-kebaikan lain.

    "Untuk pencegahan jangka panjang dan juga tanpa kesan sampingan, IUS Mirena adalah kaedah paling sesuai. Ini kerana, ia bukan sahaja sesuai untuk merancang kehamilan tetapi juga untuk menstabilkan keadaan wanita selepas mempunyai anak yang ramai," katanya pada majlis memperkenalkan IUS Mirena anjuran syarikat Bayer Healthcare di Hotel Crown Plaza Mutiara, Kuala Lumpur.

    Jelasnya, wanita yang melahirkan ramai anak berisiko mengalami tumpah darah ketika bersalin disebabkan rahim yang gagal mengecut.

    Tumpah darah juga katanya, boleh membawa kepada kematian dan juga risiko mengalami embolisma.

    Embolisma adalah keadaan di mana sesuatu jisim seperti darah beku yang asalnya terdapat pada dinding vena darah. Ia kemudiannya lekang dan memasuki aliran darah ke salur darah paru-paru. Ia boleh menyumbat pada mana-mana pembuluh darah yang akhirnya membawa kepada kematian.

    matahari sumber vitamin

    Kekurangan vitamin D punca jisim tulang warga kota menyusut dengan pantas.


    MENDEDAHKAN kulit selama 10 minit kepada sinaran matahari pagi dapat menghasilkan vitamin D yang mencukupi.


    “KITA mungkin menitikberatkan pengambilan kalsium namun seringkali kita terlupa akan kepentingan vitamin D dalam penjagaan kesihatan harian,” ulas Pakar Nutrisi dan Dietetik, Universiti Perubatan Antarabangsa Malaysia (IMU), Prof. Madya Dr. Winnie Chee.

    Ujarnya, tanpa vitamin D, penyerapan kalsium dalam tubuh sukar dilakukan. Malah, dalam kes-kes ekstrem, ia akan mempercepatkan berlakunya penyusutan jisim dalam tulang atau dikenali sebagai osteoporosis.

    Berdasarkan penyelidikan Winnie, tubuh rakyat Malaysia lazimnya tidak menghasilkan vitamin D yang mencukupi kerana mereka gemar menjauhkan diri daripada sinaran matahari.

    “Saya akui ramai antara kita terutama wanita suka berjoging dan bersenam. Namun faktor pemilihan tempat dan masa membuatkan mereka tidak sihat secara total,” katanya.

    Menurut Winnie, bersenam pada awal pagi iaitu sebelum matahari naik serta lebih selesa dilakukan di dalam gimnasium tertutup membuatkan penghasilan vitamin D secara semula jadi sukar berlaku.

    Jelasnya lagi, vitamin D3 yang penting untuk kulit terhasil apabila 7-dehydrocholestrol bertindak balas dengan ultra-violet dalam kiraan gelombang antara 270-300 nanometer (nm).


    DR. WINNIE CHEE


    “Walaupun kehadiran gelombang ini hanya selama 10 hingga 15 minit semasa matahari terbit, pendedahan terhadapnya amat penting untuk pembentukan vitamin D,” ungkapnya.

    Winnie turut mendedahkan bahawa wanita di bandar, terutama di Kuala Lumpur, bukan sahaja mengalami penyusutan jisim tulang malah vitamin D.

    Tanpa pendedahan yang secukupnya terhadap matahari, kandungan vitamin D dalam tubuh akan berkurangan dengan pantas.

    Faktor ini, secara tidak langsung membuktikan terdapat kaitan antara kehilangan kalsium dalam tubuh dan vitamin D. Tanpa kombinasi antara kedua-duanya, kesihatan tulang mudah terjejas.

    “Meskipun terdapat suplemen vitamin D di pasaran, namun mendapatnya secara semula jadi amat penting. Justeru, jangan takut untuk terkena pancaran matahari, terutama pada awal pagi,” tegasnya.

    Lebih daripada itu, vitamin D juga didapati mampu menjadi agen pelindung kepada mereka yang menghidap kanser khususnya kanser kolon, prostat, dan payu dara.

    Walaupun kajian masih dilakukan, namun keputusan awal menunjukkan terdapat kesan positif dalam membantu melindungi orang ramai daripada risiko kanser.

    Dalam pada itu, pengambilan vitamin secara berlebihan juga memberi impak tersendiri pada kesihatan seseorang seperti muntah, pening, lemah anggota badan dan kehilangan berat badan.

    “Lebih membimbangkan, dos berlebihan ini akan meningkatkan tahap kalsium dalam darah pesakit termasuk mengakibatkan ritma jantung yang abnormal dan kekeliruan.

    “Jadi, amat mustahak vitamin D diambil mengikut dos yang betul dan diawasi serta dinasihati oleh pakar kesihatan,” katanya.

    – SHANIKA ABDULLATIB

    Sumber vitamin D

    MAKANAN:

    Daging, ikan

    - Salmon, tuna, mackerel
    - Minyak ikan adalah sumber terbaik vitamin D iaitu sebanyak 1,360 IU dalam setiap hidangan
    - Telur (20IU)
    - Keju (12IU)
    - Susu tanpa lemak (98IU)
    - Bijirin segera (40IU)

    Pendedahan pada matahari

    Sinaran lembayung (UV) radiasi B dengan gelombang antara 290 hingga 315nm mampu membenam ke dalam kulit lalu menukarkan 7-dehydrocholesterol kepada pravitamin D3 yang akhirnya akan menjadi vitamin D3.

    Radiasi UVB tidak dapat melalui cermin. Jadi pendedahan matahari di dalam bilik melalui tingkap tidak akan menghasilkan vitamin D.

    * IU - Unit Antarabangsa

    Sumber: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

    Kulit bersisik penyakit Ichthyosis

    Satu kes dalam 300,000 kelahiran menjadikan penyakit ini unik.


    IRSHAD menghidap penyakit kulit bersisik sejak berusia enam bulan.



    DR. CHOY YEW SING






    PESAKIT kulit bersisik menjadi lebih sensitif terhadap perubahan suhu sejuk dan panas.


    "DIPEGANG salah, didukung salah. Yang dia mahu ialah badannya sentiasa sejuk dan digaru selalu," luah Azizan Mohd. Yusof, 50, dari Kampung Siput, Baling, Kedah, mengenai anaknya, Irshad, dua tahun, yang menghidap sejenis penyakit kulit kronik sejak berumur enam bulan.

    Malah setiap kali anaknya itu menangis kerana pedih akibat peluh, hati Azizan dan isteri diruntun pilu. Apatah lagi melihat anggota badan permata hati mereka itu penuh dengan kepingan kulit yang mengelupas.

    Bukannya sedikit, bahkan setiap inci tubuh anaknya itu, dari hujung kepala ke hujung kaki, mengelupas hingga menegangkan struktur permukaan kulitnya.

    Menurut Pakar Runding Genetik Kanak-kanak, Pusat Perubatan Sime Darby, Dr. Choy Yew Sing, penyakit kulit bersisik yang berpunca daripada faktor genetik itu amat jarang berlaku.

    "Ichthyosis terjadi dalam satu daripada 300,000 kelahiran. Ia melibatkan gen pesakit yang bermutasi," kata doktor pakar yang merawat Irshad ini.

    Yew Sing berkata, perubahan genetik yang berlaku secara spontan atau menerusi salasilah keluarga merupakan antara punca penyakit ini.

    Beliau menambah, penyakit berkaitan genetik amat kompleks. Simptomnya juga mungkin atau tidak muncul langsung sewaktu dilahirkan.

    "Secara mudahnya, ada sesetengah Ichthyosis dilahirkan bersama-sama pesakit seperti kes Irshad ini," katanya. Beliau, bagaimanapun, berkata, penyakit ini tiada kaitan dengan bangsa, jantina atau umur seseorang.

    Keadaan pesakit akan bertambah parah seandainya mereka mempunyai alergi terhadap sesuatu seperti makanan atau persekitaran.

    Namun, Pakar Runding Dermatologi, Dr. Koh Chuan Keng menjelaskan, kaedah rawatan yang sistematik dapat mengurangkan kesan penyakit itu.

    "Ia adalah penyakit yang perlu ditanggung seumur hidup. Maksudnya, tiada rawatan yang dapat menyembuhkannya. Namun dengan penggunaan krim dan pendedahan kepada cahaya matahari secara berperingkat, pengelupasan kulit tersebut dapat dikurangkan," katanya.

    Tambah Chuan Keng, disebabkan gen yang mengawal pengelupasan kulit ini bermutasi, permukaan kulit menjadi kering dan mengelupas pada kadar abnormal.

    Secara normalnya, kulit manusia adalah hidup dan diperbaharui dengan 'gugur' secara semula jadi dalam kitaran proses selama 14 hari.

    Bagi pesakit Ichthyosis, proses itu tidak mengikut kitaran tersebut. Ia terbentuk dengan lebih pantas dan banyak berbanding keupayaannya untuk 'gugur'.

    "Justeru, kulit mengelupas, seolah-olah bersisik serta kering menjadi lumrah pada pesakit Ichthyosis ini," katanya.

    Jelas Chuan Keng lagi, salah satu fungsi kulit adalah mengawal suhu dalaman. Namun begitu, bagi pesakit Ichthyosis, mereka menjadi lebih sensitif terhadap perubahan suhu sejuk dan panas.

    Secara tidak langsung, suhu panas yang melampau merupakan masalah utama mereka. Malah keadaan boleh menjadi lebih serius apabila pesakit ini terlibat atau berada di dalam keadaan yang membuatkan mereka berpeluh walaupun sedikit.

    "Dengan keadaan cuaca dan persekitaran yang tidak menentu, keadaan kulit pesakit akan menjadi lebih parah tanpa penggunaan krim pelembap seperti emolien," katanya yang turut menegaskan Ichtyosis bukan penyakit berjangkit.

    Detoksifikasi penyakit

    Rawatan bekam juga membantu dalam menaikkan seri wajah kerana aliran darah lebih lancar.







    KEINGINAN untuk hidup sihat dan kelihatan cantik membuatkan sesetengah individu sanggup mencuba pelbagai rawatan kesihatan.

    Selain perubatan moden, perubatan alternatif juga mula mendapat tempat terutamanya golongan wanita.

    Setelah penat seharian bekerja dan menguruskan rumah tangga, mereka tiada masa untuk menjaga kesihatan dan memanjakan tubuh badan.

    Hari ini, terdapat pelbagai kaedah boleh digunakan lelaki dan wanita untuk menghilangkan stres serta memulihkan kelesuan tubuh.

    Salah satu rawatan yang boleh dilakukan tanpa rasa sakit adalah terapi bekam.

    Ia adalah satu proses untuk membuang darah kotor dari dalam badan melalui permukaan kulit.

    Jika dahulu bahan dan teknik yang digunakan agak ngeri iaitu melalui teknik torehan dan buluh. Ramai yang menyifatkan ia sakit dan berbahaya. Terutama jika pesakit tersebut penghidap Human Immunodeficiency Virus (HIV).

    Kini, kaedah bekam turut melalui satu evolusi apabila mangkuk kaca dan alat peniti khas berjarum halus digunakan. Jarum yang digunakan juga ditukar.

    Ini diakui sendiri oleh Pengasas Pusat Homeopati dan Bekam, Dr. Nik Omar Nik Daud, apabila teknik bekam kini menggunakan teknologi moden dan selamat.

    Beroperasi di Bandar Baru Bangi, Selangor, peralatan seperti mangkuk yang digunakan akan dibersihkan terlebih dahulu melalui proses pensterilan sebelum digunakan kepada pesakit lain.

    "Tidak timbul soal bahaya dalam rawatan ini. Mangkuk yang digunakan terdiri daripada pelbagai bentuk. Ia akan digunakan mengikut umur dan berat badan pesakit.

    "Malah, jarum yang digunakan ke atas pesakit juga tidak akan digunakan kepada pesakit lain," katanya ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.


    JARUM yang digunakan kepada pesakit tidak akan dikongsikan dengan pesakit lain.


    Nik Omar yang mempraktikkan bekam, akupuntur dan homeopati lebih daripada suku abad memberitahu, ramai yang tidak menyedari bahawa terdapat banyak toksik yang terperangkap di dalam tubuh badan mereka.

    "Disebabkan itu, mereka sering merasa lenguh-lenguh badan, penat dan tidak bermaya. Amalan berbekam penting bagi memulihkan kembali fungsi tubuh kepada asal," kata anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini.

    Secara saintifiknya, penyakit di dalam tubuh berpunca daripada makanan yang tidak seimbang.

    Makanan pula akan dicernakan di dalam perut. Kapilari-kapilari dari perut pula akan menyerap zat-zat yang penting dan menjadi nutrien dalam darah.

    Sisa-sisa daripada proses pencernaan pula akan dibuang dari tubuh badan sebagai najis, air kencing dan perpeluhan dari seluruh badan.

    Darah yang mengandungi nutrien akan mengalir ke semua organ-organ dalam tubuh badan seperti hati, paru-paru, jantung, kelenjar, otak, organ pencernaan, ginjal, organ pembiakan dan lain-lain lagi.


    RAWATAN bekam disaran dilakukan sekurang- kurangnya sebulan sekali.


    Darah juga akan mengambil bahan-bahan buangan dalam darah dan mengangkutnya ke paru-paru, ginjal dan kulit untuk dikeluarkan daripada tubuh badan manusia.

    Kegagalan bahan toksik dikumuhkan melalui sistem perpeluhan akan akan menyebabkan darah yang bertoksik terperangkap antara tiga milimeter hingga empat milimeter di bawah permukaan kulit.


    KEBANYAKAN penyakit berpunca daripada pemakanan yang tidak seimbang. – Gambar hiasan






    MANGKUK yang digunakan untuk menyedut darah melalui proses pensterilan.


    Bekam boleh dilakukan pada mana-mana bahagian tubuh kecuali bahagian yang bertulang dan berongga. "Lazimnya, ramai yang memilih bahagian belakang. Darah yang dikeluarkan melalui proses bekam lazimnya berwarna merah kehitaman dan agak sedikit likat. Adakanya ia juga berketul-ketul.

    "Bergantung pada bahagian tubuh, kawasan yang mempunyai kandungan toksik yang tinggi akan mengeluarkan darah yang banyak," jelas Nik Omar. Adakah bahagian yang dicucuk jarum itu terasa pedih apabila mandi? Jelas Nik Omar: "Tidak, anda boleh mandi seperti biasa."

    Bekam dikatakan teknik detoksifikasi yang berkesan, dapat merawat pelbagai penyakit dan memulihkan fungsi tubuh.

    Dalam pada itu, wanita yang ingin datang ke pusat Nik Omar untuk sesi rawatan tidak perlu risau kerana mereka akan dirawat oleh dua orang pembantu wanita yang berpengalaman hampir lima tahun dalam teknik bekam.

    Nur Shazatul Shafiqa Ab. Gafa, 23, mahir melakukan kaedah bekam yang dipelajarinya daripada Nik Omar hampir lima tahun.

    Sejak kecil lagi Shafiqa berminat dengan perubatan alternatif. Lebih-lebih lagi apabila dia mendapat sokongan daripada bapanya.

    "Ia adalah satu cabaran apabila kita mempelajari sesuatu yang berbeza. Mempelajari teknik berbekam bukanlah sesuatu yang sukar. Saya gembira apabila ayah menyetujui minat saya ini," kata gadis yang berasal dari Pahang itu.

    Menurutnya, dalam sehari sebanyak empat hingga lima orang wanita atau lelaki datang melakukan rawatan bekam sama ada yang ingin membuang toksik atau mempunyai penyakit.

    Tambahnya, selain untuk kesihatan, kaedah rawatan alternatif ini juga membantu dalam menaikkan seri wajah kerana aliran darah telah lancar.

    Sebiji epal sehari

    Sebagai buah-buahan pencuci mulut, epal bukan sahaja enak dimakan tetapi dijadikan snek kesihatan bagi mengurangkan risiko sakit jantung, kanser dan kolesterol darah.


    KANDUNGAN serat epal berupaya mengisi perut yang lapar.



    PIGMEN merah yang terdapat pada buah epal adalah antioksida semula jadi.





    MUNGKIN ramai yang memilih buah epal sebagai snek harian sebelum menikmati sarapan pagi, tengah hari atau malam. Hakikatnya, masih ramai yang belum mengetahui khasiat sebiji epal.

    Buah yang mempunyai tekstur kulit yang licin, warna hijau dan merah itu antara buah-buahan yang mempunyai kelebihan dalam diet pemakanan dan sistem tubuh.

    Terdapat pelbagai sebab mengapa kita perlu makan sekurang-kurangnya sebiji epal setiap hari. Satu kajian mendapati mereka yang makan lebih lima biji epal seminggu memiliki fungsi paru-paru yang lebih sihat berbanding mereka yang langsung tidak makan epal.

    Para saintis juga mengesahkan epal merupakan penyumbang kepada kesihatan jantung.

    Pengambilan dua hingga tiga biji epal sehari dapat mengurangkan tahap kolesterol dalam badan.

    Menurut pakar pemakanan di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, Tan Yeng Sing, epal menjadi kegemaran bukan sahaja kerana rasanya tetapi khasiatnya.

    "Epal tidak mengandungi lemak, sebaliknya mempunyai kandungan nutrien dan serat termasuk antioksida yang meningkatkan prestasi badan dan kulit seseorang.

    "Serat yang terdapat pada biji dan kulit epal membantu mengurangkan kekenyangan dan mencegah anda daripada makan berlebihan," katanya.

    Tambah beliau, sebiji epal wajar diambil setengah jam atau satu jam sebelum anda menikmati hidangan utama setiap hari, iaitu antara makan tengah hari dan malam.

    Dengan cara itu, kita mengurangkan hidangan yang diambil kerana kandungan serat sudah berupaya mengisi perut anda yang lapar.

    Bercerita mengenai kelebihan buah epal merah, pigmen merah yang terdapat pada kulit buah tersebut mengandungi sejenis bahan yang dipanggil likopena.

    "Ia adalah rahsia yang membuatkan buah epal sangat luar biasa. Bahan ini mempunyai pelbagai khasiat antioksida semula jadi yang baik untuk kesihatan badan.

    "Selain antioksida yang berfungsi menjauhkan seseorang daripada serangan kanser kerana melawan radikal bebas dalam tubuh, likopena juga baik untuk mengurangkan risiko jantung.

    "Likopena dikenal pasti membantu merendahkan paras kolesterol LDL (kolesterol jahat)," jelasnya sambil memberitahu epal merah mengandungi komponen likopena yang lebih tinggi sementara epal hijau mengandungi karotenoid.

    Bagaimanapun, kajian menunjukkan epal sememangnya baik untuk mengurangkan risiko sakit jantung dan kanser, sekali gus mengurangkan kolesterol darah.

    "Seperti kebanyakan buah, epal mengandungi vitamin C. Ia juga hos sebatian antioksida lain bagi mengurangkan risiko kanser dengan menghalang kerosakan deoksirinukleik (DNA).

    "Kandungan seratnya membantu mengawal pergerakan usus dan merendahkan risiko kanser kolon," ujarnya.

    Bagaimanapun, nasihat Yen Sing, elakkan pengambilan buah yang mempunyai warna yang sama setiap hari. Katanya, untuk mendapatkan diet yang ideal, kita seharusnya mempelbagaikan jenis buah-buahan dan juga warnanya, termasuk sayur-sayuran.

    Justeru, pakar diet mengesyorkan pengambilan makanan daripada warna-warna pelangi. Cara tersebut bukan sahaja baik untuk kesihatan badan, malah membantu kita mendapatkan pemakanan yang seimbang.

    "Amalkan pengambilan buah-buahan yang segar seperti epal, strawberi, oren, kiwi dan salad berbanding buah-buahan atau pemakanan yang telah diproses," kata Yen Sing.

    Sementara itu, dalam usaha menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menikmati buah epal, Suruhanjaya Epal Washington (WAC) telah menganjurkan siri program pendidikan dan promosi kepada orang ramai bermula bulan Mei ini.

    Untuk memberikan ganjaran hebat kepada para penggemar epal, program pertukaran epal Washington akan diadakan di semua gedung terbesar Giant, Cold Storage dan Jusco di seluruh Malaysia.

    Di gedung-gedung itu, dengan setiap pembelian minimum epal Washington, para pembeli akan menerima cenderamata menarik seperti cawan dan rantai kunci daripada pihak WAC. Tawaran ini sah selagi stok masih ada.

    "Bagi memastikan rakyat Malaysia sentiasa kekal sihat, WAC memberikan epal percuma kepada kakitangan di salah sebuah pusat kecergasan utama, True Fitness, di Jaya 33, Petaling Jaya, Selangor dan kepada 55 orang kanak-kanak kurang bernasib baik dari Rumah Hope, Petaling Jaya," jelas wakil pasaran WAC, Eddie Saw

    LinkWithin

    Blog Widget by LinkWithin